mutakhir

Tidak mengaku amang seksual dua kanak-kanak perempuan

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Bekas pekerja kurier mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan, 2 Mac lalu.

Tertuduh, Addin Mahsuri Abdul Ariff Nordin, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia 11 tahun 11 bulan dan 12 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Ketereh pada 10.30 malam, 2 Mac 2024.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam Wan Mohd Ikram Wan Ibrahim.

Terdahulu, Siti Edabayu tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan jenayah seksual itu membabitkan kanak-kanak dan mangsa masih trauma dengan kejadian itu.

Katanya, sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, jumlah yang ditawarkan adalah RM30,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Wan Mohd Ikram memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jumlah minimum, memandangkan ibunya hanya peniaga dengan pendapatan RM50 sehari, selain jaminan anak guamnya tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: May 21, 2024 @ 1:44pm
d