mutakhir

Bakal calon SPM hilang selepas keluar menonton perlawanan bola sepak

Oleh Alias Abd Rani

Batu Pahat: Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dilaporkan hilang selepas keluar menonton perlawanan bola sepak, Sabtu lalu.

Kehilangan Hafiz Fauzan Abd Halid yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Parit Raja (SMAPR) hanya disedari selepas tidak pulang ke rumah pada pagi keesokan hari.

Bapanya, Abd Halid Sugiman, 44, berkata, berapa jam sebelum kehilangannya, Hafiz Fauzan meminta izin daripadanya untuk keluar rumah pada 10 malam kerana mahu menonton bola sepak bersama rakannya di Parit Ju, Tongkang Pechah.

Namun, kelibat anak ketiga daripada tujuh beradik tidak muncul menyebabkan dia meminta seorang lagi anaknya mencari Hafiz Fauzan di rumah rakannya itu.

"Anak saya pulang dan beritahu, tiada sesiapa pun di rumah rakannya. Hati saya mula gelisah dan saya cuba bertanyakan rakan lain namun mereka menjawab tidak tahu.

"Jadi, saya berusaha mencarinya termasuk meninjau di beberapa jalan yang mungkin dilalui sepanjang Jalan Tongkang Pechah ke Parit Raja, kemudian Jalan Sri Bengkal, namun tiada petunjuk diperolehi.

"Semua jalan belakang pun saya dah lalu kerana kita khuatir jika dia jatuh dalam parit namun setakat ini, sudah dua tiga kali lalui tapi tidak jumpa," katanya.

Menurutnya, dia bersama keluarga menjemput Hafiz Fauzan di asrama SMAPR pada petang Sabtu memandangkan mula cuti persekolahan.

"Khamis lalu, dia menyertai pertandingan nasyid peringkat daerah dan muncul naib juara. Petang hari sama pula dia mewakili sekolah dalam pertandingan bola sepak dan juara.

"Selepas menjemputnya, kami keluar makan bersama-sama di Yong Peng, jadi kami tiba di rumah sekitar 10 malam. Dia pun minta izin keluar nak tonton perlawanan final bola sepak di rumah rakannya itu," katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2024 @ 4:56pm
d