mutakhir

Anak maut dilanggar bapa ketika alih kenderaan

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Besut: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan maut selepas dilanggar kenderaan dipandu bapanya di kawasan rumah mereka di Kampung Wakaf Kubor, Kluang, Kampung Raja, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kematian kanak-kanak lelaki itu semasa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Gong Medang selepas disahkan meninggal dunia pada jam 10.30 pagi.

Katanya, siasatan awal dijalankan dan mendapati kejadian berlaku ketika bapa kanak-kanak mengalihkan kenderaan jenis pacuan empat roda selepas selesai membasuh kenderaan di halaman rumah.

"Bapa mangsa tidak menyedari kanak-kanak itu sedang bermain telefon bimbit di atas tangga rumah dan bergerak menuju ke arah kenderaan dipandu lelaki itu dan menyebabkan pemandu itu terlanggar anaknya.

"Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.30 pagi. Bapa kanak-kanak itu kemudiannya membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Gong Medang dan kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Rozak berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, proses bedah siasat masih dijalankan untuk mengenalpasti kecederaan dialami mangsa.

Katanya, ibu bapa perlu lebih berhati-hati serta peka semasa memandu di kawasan kediaman terutamanya yang mempunyai anak kecil serta sentiasa mengawasi mereka untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Disiarkan pada: May 29, 2024 @ 9:07pm
d