mutakhir

Sejam isi minyak dalam lori tangki untuk seleweng

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Tindakan mencurigakan pengendali lori tangki apabila mengisi minyak sehingga satu jam di sebuah stesen minyak, di sini membawa padah apabila diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.

Dalam operasi Ops Tiris 5.0, Rabu lalu, pihak berkuasa itu menahan pemandu lori berkenaan berusia 50 tahun selain dua pekerja stesen minyak warga Bangladesh untuk siasatan lanjut.

Ketua Sektor Operasi Seksyen Penguatkuasaan KPDN Selangor, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, serbuan dijalankan hasil tinjauan berkala pasukan risikan ke kawasan panas bagi membanteras penyelewengan subsidi diesel.

"Ketika anggota tiba di stesen minyak itu, sebuah lori tangki didapati sudah sejam membuat pengisian minyak dan pemeriksaan segera dilakukan, yang mendapati ada pengubahsuaian pada struktur badan lori.

"Pengubahsuaian itu disyaki untuk tujuan penyelewengan atau menjualnya demi mengaut keuntungan," katanya dalam satu kenyataan hari ini

Mohd Shahran berkata, siasatan lanjut terhadap pemandu mendapati dia sudah melakukan 12 kali transaksi pada satu pam yang sama.

"Perkara ini juga disemak silang bersama cetakan resit yang dikeluarkan melalui sistem stesen minyak dan dikesan membabitkan ribuan liter pengisian," katanya.

Beliau berkata, arahan mengisytiharkan stok dan mengemukakan dokumen mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 dikeluarkan kepada pemandu lori dan pihak stesen minyak pada hari sama.

Katanya tiga individu merangkumi pemandu lori dan dua pekerja Bangladesh usia 30-an ditahan untuk dirakam percakapan, manakala lori dan bahan api disita bersama dokumen urus niaga lain.

"Anggaran keseluruhan bahan api disyaki diesel di dalam kes ini mencecah 10,000 liter. Anggaran keseluruhan nilai sitaan mencecah RM500,000," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Disiarkan pada: May 31, 2024 @ 9:52am
d