mutakhir

Penahanan ibu bapa Zayn Rayyan, jangan cepat buat spekulasi!

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Petaling Jaya: Masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan susulan penahanan reman ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang mati dibunuh Disember tahun lalu.

Peguam Mahmud Abdul Jumaat, berkata, walaupun penahanan ibu bapa kepada kanak-kanak berusia enam tahun itu amat mengejutkan semua pihak namun penahanan mereka adalah untuk membantu siasatan polis.

"Terdapat perkembangan baharu dari segi rakaman percakapan kedua-dua suspek terbabit.

"Perkembangan terbaharu dari segi percakapan yang (dirakam) sebelum ini termasuk beberapa perkembangan lain oleh pihak polis.

"Mereka masih dalam tempoh reman, dan reman ini hanya untuk melengkapkan siasatan jadi kita tidak tahu lagi siapa yang bakal dituduh kelak.

"Selepas selesai siasatan dan dihantar kepada pendakwa raya, mungkin pada waktu itu kita akan tahu siapa suspek utama kes ini," katanya ketika ditemui di Mahkamah Majistret di sini, tadi.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penahanan ibu bapa Zayn Rayyan kelmarin.

Beliau turut meminta supaya semua pihak bersabar serta mendoakan keluarga suspek kuat menghadapi cabaran ini. Mahmud berkata, pihaknya akan memberi kerjasama dan ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan mereka secara terperinci bagi mendapatkan keadilan ke atas semua pihak.

"Kedua-dua orang yang disyaki (OYDS) adalah ibu bapa kepada mangsa. Sudah tentu mereka sangat terkejut dan (penahanan) ini tidak dijangkakan.

"Saya pun agak terkejut, saya percaya satu Malaysia terkejut dengan penahanan ini oleh itu saya minta semua warganet mendoakan keluarga ini kuat," katanya.

Mahmud yang mewakili pasangan suami isteri ini berkata, Majistret, Ainaa Mohd Kamal membenarkan tempoh reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, pasangan itu kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini. Disember lalu Harian Metro melaporkan, Zayn Rayyan yang pada asalnya dilaporkan hilang ditemui meninggal dunia tidak jauh dari kediaman keluarganya di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini.

Mayat Zayn ditemui di saliran air kira-kira 200 meter dari rumahnya pada jam 9 malam 6 Disember lalu. Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya. Sehari sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.30 petang oleh keluarganya.

Kronologi kes pembunuhan Zayn Rayyan

Polis siasat motif pembunuhan Zayn Rayyan

Ibu bapa Zayn Rayyan direman 7 hari

Ibu bapa Zayn Rayyan disiasat ikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan

Kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan: Ibu bapa ditahan

Disiarkan pada: June 1, 2024 @ 3:25pm
d