mutakhir

Jenazah pendaki, Allahyarham Zulkifli selamat dibawa turun dari Gunung Denali, Alaska, AS

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Jenazah Allahyarham Zulkifli Yusof yang meninggal dunia semasa mendaki Gunung Denali, Alaska, Amerika Syarikat, selamat dibawa turun dari lokasi kejadian, semalam.

Kelab Alpine Malaysia, pada kenyataan di Facebook memaklumkan, pihaknya mendapat maklumat daripada Konsular Malaysia di Los Angeles bahawa jenazah Zulkifli, 37, dibawa turun jam 8.30 pagi (waktu tempatan), semalam.

"Jenazah kini ditempatkan di sebuah hospital di Anchorage, Alaska dan akan menjalani proses selanjutnya.

"Pihak keluarga juga sedang berurusan dengan syarikat insurans dibantu wakil Konsular Malaysia untuk membawa jenazah pulang ke Malaysia dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, katanya, dua pendaki lain iaitu Illaham Ishak dan Zainudin Lot masih berada di hospital untuk rawatan akibat 'frostbite' (luka beku).

"Wakil Kelab Jelajah Alpine, Norsafrina Shamsir Md Nasir kini berada di Talkeetna, Alaska untuk membantu urusan membawa pulang jenazah dan dua pendaki iaitu Illaham serta Zainudin.

"Buat sementara ini, kami mohon supaya pihak waris dan keluarga diberikan ruang privasi sebaiknya.

"Pada masa sama, kami juga memohon supaya rakyat Malaysia mendoakan agar semua urusan dipermudahkan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Kementerian Luar mengesahkan seorang pendaki warga Malaysia meninggal dunia ketika ekspedisi pendakian di Gunung Denali.

Disiarkan pada: June 2, 2024 @ 11:41am
d