mutakhir

Anak Hamzah Zainudin didakwa terima rasuah RM100,000

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Anak lelaki kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM100,000 untuk menggunakan pengaruhnya bagi mendapatkan tender daripada sebuah syarikat teknologi, enam tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Muhammad Faisal Hamzah, 40, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, perunding syarikat itu didakwa menerima suapan RM100,000 daripada seorang individu sebagai upah bagi Heitech Padu Berhad melantik syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan Per My Solutions sebagai konsultan pemasaran disebabkan pengaruh yang dimilikinya.

Dua syarikat itu dibayar komisen berjumlah RM700,000 selepas Heitech Padu dianugerahkan tender 'Supply, Rental, Implementation, Training, Support and Maintenance of Security Infrastructure' bernilai RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pejabat di pusat beli-belah di Jalan Dutamas 1, pada Mac 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memohon jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur serta tidak dibenarkan berhubung dengan saksi pendakwaan.

"Saya mohon mahkamah mengambil kira latar belakang tertuduh yang juga anak kepada bekas menteri," katanya.

Peguam, Ravinder Singh Dhalliwal yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan RM25,000 atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap.

"Kami tidak ada bantahan atas syarat tambahan dipohon pendakwaan, bagaimanapun anak guam perlu ke luar negara kerana dalam proses untuk membuka hostel di Thailand, dia perlu pergi ke sana dua hingga tiga hari dalam masa sebulan," katanya.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Rozina membenarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dicadang pendakwaan serta tertuduh disenarai hitam ke luar negara.

Mahkamah turut menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan kes.

Disiarkan pada: June 5, 2024 @ 11:04am
d