mutakhir

Peguam baharu usaha jumpa ibu bapa Zayn Rayyan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Peguam baharu ibu bapa kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin memaklumkan sedang berusaha untuk bertemu mereka yang kini dalam tahanan reman.

Bekas Timbalan Pendakwa Raya itu, Fahmi Abd Moin berkata, beliau sedang berusaha untuk bertemu orang yang disyaki (OYDS) hari ini atau esok.

"Buat masa ini belum dapat berjumpa dan saya tengah berusaha untuk bertemu OYDS (ibu bapa Zayn).

"Saya juga belum ada maklumat sama ada mereka akan disambung reman atau tidak," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Terdahulu semalam beliau mengesahkan dirinya dilantik sebagai peguam baharu mewakili ibu bapa kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditahan polis Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes pembunuhan.

Datuk Zayn, Zahari Mohd Reba turut mengesahkan peguam baharu yang dilantik pihaknya adalah Fahmi yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya.

Sebelum ini pasangan itu diwakili Mahmud Jumaat dari Tetuan Emir Mahmud & Co sebelum beliau memaklumkan dirinya tidak lagi mewakili ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Sebelum ini, Mahmud dilantik keluarga ibu bapa Zayn Rayyan selepas pasangan berusia 28 tahun itu ditahan polis di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam Jumaat lalu.

Disiarkan pada: June 5, 2024 @ 12:56pm
d