mutakhir

Bank Rakyat sumbang RM3 juta bantu golongan asnaf

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Bagi membantu golongan memerlukan, Bank Rakyat menyumbang hampir RM3 juta menerusi inisiatif Jangkauan Komuniti Madani di seluruh negara, tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria berkata, sumbangan berkenaan merangkumi program Baiti (Rumahku), asnafpreneur dan kebun nuri nutrisi.

Katanya, lebih 1,000 golongan kurang bernasib baik termasuk asnaf, usahawan asnaf, mualaf dan pelajar mendapat manfaat daripada program berkenaan.

"Bagi Kelantan, kita menyumbang hampir RM500,000 iaitu RM323,000 bagi kos pembinaan rumah termasuk penyediaan keperluan asas untuk lima kediaman di Kota Bharu, Machang dan Tanah Merah.

"Sebanyak RM131,000 disumbangkan bagi projek peningkatan ekonomi melalui penanaman cendawan tiram putih membabitkan 10 usahawan asnaf terpilih termasuk mualaf sekitar Tumpat menerusi inisiatif asnafpreneur yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan Inisiatif Jangkauan Komuniti Madani di Kelantan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat, Mohd Zamery Abdul Razak dan Pengurus Cawangan Bank Rakyat Kota Bharu, Rosmidi Ibrahim.

Nor Haimee berkata, inisiatif asnafpreneur bertujuan membantu meningkatkan taraf ekonomi dan sosial usahawan asnaf dan mualaf yang dijalankan selama enam bulan merangkumi latihan, bimbingan serta pemantauan secara inklusif daripada aspek termasuk penggunaan teknologi pertanian moden.

"Selain itu, seramai 83 pelajar program pendidikan khas integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat, Tumpat turut menerima manfaat program kebun nuri nutrisi dalam memperoleh bantuan dana secara berterusan bagi pengurusan tanaman kebun sayur yang mana hasilnya boleh dituai dan dijual.

"Sejak dilaksanakan pada 2020, lebih 25,000 pelajar daripada 31 institusi pendidikan termasuk sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan komuniti di seluruh negara mendapat manfaat," katanya.

Menurutnya, inisiatif Jangkauan Komuniti Madani di Kelantan adalah komitmen tanggungjawab sosial korporat Bank Rakyat dalam melaksanakan peranan serta mandat sebagai institusi kewangan pembangunan demi memacu pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat yang memerlukan.

Disiarkan pada: June 5, 2024 @ 2:36pm
d