mutakhir

Pengasuh taska disyaki dera bayi didakwa esok

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kajang: Pengasuh yang disyaki mendera bayi perempuan berusia 17 bulan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Bandar Mahkota Cheras di sini, akan dituduh esok.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Kajang.

"Suspek kes ini akan didakwa di mahkamah pada jam 8.30 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Harian Metro terdahulu melaporkan, pasangan suami isteri mendakwa anak tunggalnya didera dengan disumbat makanan dan ditarik rambut oleh pengasuh sebuah taska.

Harian Metro terdahulu melaporkan, Mohd Zaid mengesahkan menerima laporan kes daripada bapa bayi pada 7.36 malam 29 Mei lalu.

Beliau dilaporkan berkata, dalam laporan lelaki itu yang juga pemandu e-hailing mendakwa anaknya diperlakukan dengan kasar ketika disuap makan, dengan rambutnya ditarik serta dipicit hidung.

Katanya, akibat kekasaran itu hidung anak pengadu mengalami kecederaan dan pemeriksaan di hospital mengesahkan bayi itu mengalami 'soft tissue injury'.

Sebelum itu, pasangan suami isteri dalam satu sidang media mendakwa mengetahui kejadian selepas menerima beberapa rakaman video dan gambar menerusi aplikasi WhatsApp yang dikongsi oleh bekas pekerja taska pada 28 Mei lalu.

Dalam rakaman berkenaan kelihatan seorang wanita dipercayai pengasuh menyumbat makanan ke dalam mulut anaknya secara paksa menyebabkan anaknya itu menangis.

Disiarkan pada: June 5, 2024 @ 4:20pm
d