mutakhir

'Bonus' rampasan syabu

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Tidak hanya berjaya merampas dadah syabu bernilai ratusan ribu ringgit malah 'bonus' berganda buat anggota polis yang turut merampas enam pistol dan peluru hidup milik sindiket.

Sumber berkata, rampasan besar itu dilakukan susulan operasi dilakukan sepasukan anggota dan pegawai polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Sungai Nibong, Pulau Pinang Sabtu lalu.

Menurutnya, dalam operasi sekitar jam 3 petang itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an sebelum melakukan pemeriksaan di sebuah kediaman di Gelugor, Pulau Pinang.

"Pihak polis terpaksa mengumpil jeriji dan pintu kediaman itu sebelum masuk ke dalamnya.

"Hasil pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa menemui sepucuk pistol model Smith & Wesson berserta kelopak peluru, sepucuk pistol model Walter P22 dan sepucuk pistol model Glock 19C.

"Turut dirampas pistol model Mauser-Werke berserta kelopak, sepucuk pistol Star Eibar berserta kelopak dan pucuk pistol Revolver," katanya.

Menurutnya, polis turut menemui 2 kotak berisi 100 butir peluru hidup di dalamnya.

"Suspek yang bekerja sebagai juruteknik mendakwa menyewa premis itu sejak lima tahun lalu namun menafikan senjata api itu miliknya.

"Dia mendakwa semua senjata api berkenaan adalah milik majikannya yang turut memiliki kunci kediaman terbabit," katanya.

Di samping itu, menurut sumber lagi, polis JSJN sebelum itu turut berjaya merampas 91 ketulan mampat dadah heroin dan 45 kilogram dadah syabu hasil operasi di negeri berkenaan.

"Susulan itu semua senjata api berkenaan dirampas dan turut disiasat oleh pakar di Jabatan Kimia.

"Suspek direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain yang dihubungi Harian Metro semalam mengesahkan rampasan itu.

Mac lalu, seorang lelaki warga Israel berusia 38 tahun diberkas selepas didapati memiliki enam senjata api dan 158 butir peluru di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Polis merampas pistol Glock 19, Sig Sauer, pistol Cougar, Glock 17, pistol N&P 9C Smith & Wesson dan pistol Stoeger Cougar 8000F.

Disiarkan pada: June 6, 2024 @ 7:02am
d