mutakhir

Orang lain pinjam, orang lain pula diugut bayar hutang

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau along dikesan semakin agresif apabila bukan saja mengugut mangsa, sebaliknya turut mengancam keselamatan ahli keluarga dan jiran peminjam.

Antara taktik digunakan sindiket itu adalah menghubungi ahli keluarga dengan mengugut mahu mencederakan dan membunuh mereka jika gagal membayar hutang, selain menghantar surat serta membuat hantaran berbaur ugutan di media sosial.

Pemandu e-hailing, Wong Yock Sang, 67, berkata, dia menerima ugutan di Facebook daripada individu tidak dikenali yang memberitahu anak lelakinya meminjam wang berjumlah RM12,000 dan memintanya membayar kesemua hutang pinjaman itu.

Menurutnya, anak lelaki sulungnya memang gemar berjudi dan dia pernah melangsaikan hutang along lebih RM200,000 kerana takut selepas diugut oleh sindiket terbabit.

"Dalam kejadian terbaru pada 12 tengah hari Ahad lalu, ada individu membuat komen fitnah di akaun Facebook milik saya dengan mendakwa bahawa saya adalah penipu.

"Pada hari yang sama iaitu 9 malam, seorang anak saya beritahu ada menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwanya along memaklumkan abangnya mempunyai pinjaman sebanyak RM12,000 dengan mereka.

"Along itu mengugut akan mengupah gengster untuk mengganggu hidup kami jika tidak membayar hutang berkenaan," katanya dalam sidang media di Wisma MCA di sini, hari ini.

Berikutan ugutan itu, Wong yang bimbang keselamatan keluarganya tampil membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, pada Isnin lalu.

Seorang lagi mangsa, Chai Siew Won, 34, pula mendakwa kini hidup dalam ketakutan selepas menerima panggilan telefon dan surat ugutan daripada sindiket pinjaman wang tidak berlesen kerana bekas suaminya dipercayai berhutang lebih RM5,000.

Suri rumah itu berkata, dia menerima panggilan telefon daripada dua individu tidak dikenali pada April lalu yang memaklumkan bahawa bekas suami membuat pinjaman dan dia perlu melangsaikan pinjaman itu.

Katanya, pada mulanya dia menolak untuk melangsaikan hutang bagi pihak bekas suami dan tidak menghiraukannya namun pada 2 Jun lalu, dia menerima dua surat yang dimasukkan ke dalam peti surat rumahnya di Johor.

"Surat itu mendakwa bekas suami ada pinjaman dan perlu membuat bayaran segera. Mereka mengugut akan mencederakan ahli keluarga saya jika tiada bayaran diterima.

"Bukan saya saja, jiran saya turut menerima surat sama daripada along," katanya yang sudah membuat laporan di Balai Polis Skudai, Johor.

Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, sebanyak 140 aduan kes pinjaman along membabitkan jumlah lebih RM10 juta diterima pihaknya sejak Januari tahun ini sehingga semalam.

Menurutnya, pihaknya mendapati sindiket terbabit semakin berani apabila tidak hanya mengugut peminjam tetapi turut mengugut ahli keluarga serta jiran yang bertujuan mendapatkan pulangan bayaran yang tidak masuk akal.

Disiarkan pada: June 6, 2024 @ 3:05pm
d