mutakhir

Keluarga Ahmad Irham terima bantuan Pencen Penakat Perkeso

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Keluarga bekas jurugambar The New Straits Times Press (NSTP) (M) Bhd Ahmad Irham Mohd Noor yang meninggal dunia, Rabu lalu, akan menerima bantuan Pencen Penakat sebanyak RM2,429 sebulan.

Bantuan diberikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu akan bermula bulan ini.

Balunya, Azlimi Ayub@Abdullah, 43, yang juga kakitangan Hospital Putrajaya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Perkeso atas sumbangan disalurkan itu.

Katanya, bantuan Pencen Penakat itu akan digunakan bagi membiayai perbelanjaan harian dan persekolahan dua anak, Adam Irsyad, 14, dan Aiman Irfan, 18.

"Saya turut mengucapkan terima kasih kepada pihak NSTP kerana walaupun arwah suami sudah tidak bekerja sejak 2020 namun melalui caruman yang dibuat pihak syarikat, arwah layak menerima sumbangan," katanya kepada pemberita pada Program Ziarah Prihatin dan penyampaian sumbangan di rumahnya di Presint 17, di sini, hari ini.

Sumbangan disampaikan Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal.

Turut hadir Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Timbalan Ketua Eksekutif Operasi Perkeso John Riba Marin.

Allahyarham Ahmad Irham, 43, meninggal dunia selepas diserang jangkitan kuman dan berdepan pemotongan kedua-dua belah kaki apabila dilaporkan kritikal di Hospital Putrajaya.

Subahan berkata, selain menerima bantuan bulanan itu, Perkeso turut menyerahkan cek bantuan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 kepada Azlimi.

Menurutnya, bantuan FPM yang dinaikkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 itu bermula awal bulan ini dan arwah adalah antara penerima pertama di Putrajaya.

"Secara tidak langsung saya juga mengenali Ahmad Irham ketika beliau bertugas sebagai jurugambar di NSTP dan arwah sangat komited dalam kerjayanya," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zaini berkata, bagi pihak NSTP, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perkeso atas bantuan disalurkan kepada keluarga Ahmad Irham.

Katanya, semasa Ahmad Irham bertugas sepanjang 20 tahun, pihak syarikat ada membuat caruman sehingga beliau menyertai Skim Pemisahan Sukarela pada Mac 2020 dan kemudian menceburi bidang usahawan tani penanaman cili dan timun di Dengkil, Selangor.

"Kita harap dengan bantuan bulanan diterima ini dapat meringankan perbelanjaan keluarga lebih-lebih lagi dua anak arwah yang masih bersekolah," katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2024 @ 3:36pm
d