mutakhir

Polis sahkan dua maut keracunan makanan disediakan program sekolah

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Gombak: Polis mengesahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan remaja 17 tahun maut dipercayai akibat keracunan daripada makanan yang disediakan di sebuah sekolah di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga kedua-dua mangsa berhubung kejadian itu semalam.

"Mangsa pertama berusia 17 tahun memakan makanan yang dibawa balik oleh ibunya daripada satu program di sebuah sekolah di sini. Mangsa serta ibu dan bapanya mengalami cirit-birit selepas memakan makanan itu kelmarin.

"Jam 1.30 tengah hari semalam mangsa mula tidak sedarkan diri lalu bapanya menghubungi talian kecemasan MERS 999 dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa kedua adalah anak kepada seorang pengawal keselamatan yang bertugas di sekolah berkenaan.

"Jam 10.45 semalam mangsa mengalami demam, muntah-muntah dan cirit-birit lalu dibawa ke Hospital Selayang oleh ibunya.

"Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Selayang bagi tindakan lanjut," katanya.

Katanya, siasatan setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).

Menurutnya, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Khalpna Rajandhiran di talian 01250118901, atau Ketua Balai Gombak, Inspektor Heirme Che Mad 0142389151.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang remaja maut selepas dipercayai memakan tiga biji telur mata yang dibawa pulang oleh ibunya daripada satu program di sekolah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, beliau mengesahkan menerima laporan berhubung kes keracunan makanan itu.

Menurutnya, sekolah rendah agama di Sungai Cincin terbabit menganjurkan program Amal Islami sebagai tuan rumah.

Disiarkan pada: June 11, 2024 @ 11:33am
d