mutakhir

Pengarah syarikat rugi RM1.3 juta ditipu sindiket pelaburan

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Pengarah syarikat kerugian lebih RM1 juta selepas diperdaya untuk menyertai skim pelaburan atas talian selama sebulan sejak April lalu.

Difahamkan, mangsa hanya berurusan melalui WhatsApp dan melaburkan wang milik peribadi serta wang syarikat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, semalam pihak polis menerima satu laporan berkait dengan modus operandi sindiket penipuan pelaburan tidak wujud secara atas talian yang membabitkan kerugian berjumlah RM1.3 juta.

"Mangsa adalah seorang lelaki yang juga pengarah syarikat. Mangsa dipercayai berurusan melalui aplikasi WhatsApp dengan individu yang tidak dikenali.

"Mangsa dikatakan menyertai pelaburan secara atas talian serta membuat pindahan wang sebanyak 16 transaksi menggunakan wang miliknya sendiri dan syarikat bermula dari 29 April sehingga 28 Mei lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Mohamad Hatta berkata, bagi tempoh Januari hingga semalam, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Seremban membuka sebanyak 55 kertas siasatan dengan jumlah kerugian RM4.3 juta membabitkan modus operandi sama.

"Dalam tempoh sama juga, sebanyak 23 tangkapan dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya kepada tawaran pelaburan secara atas talian dan diminta segera membuat semakan.

"Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599," katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2024 @ 2:22pm
d