mutakhir

Tiada keperluan laksana subsidi bersasar RON95 buat masa ini

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kerajaan akan memberi tumpuan dan keutamaan terhadap pelaksanaan subsidi diesel bersasar terlebih dahulu supaya mekanisme yang dibuat membantu golongan disasarkan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, setakat ini belum ada keperluan subsidi bersasar itu dilaksanakan ke atas RON95.

"Buat masa sekarang fokus pelaksanaan adalah subsidi diesel.

"Kita bermula dengan diesel dulu. Bila sudah stabil, kita tengok apa boleh dibuat," katanya kepada media selepas ucaptama di majlis Simposium Sasana Bank Negara Malaysia (BNM) 2024 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai bila pelaksanaan subsidi bersasar bagi RON95 selepas pelaksanaan subsidi bersasar diesel yang bermula Isnin lalu.

Menurutnya, kerajaan sedang giat memastikan penyasaran subsidi mencapai objektif, terutama membabitkan kenderaan logistik.

Justeru katanya, pelaksanaan rasionalisasi subsidi bagi petrol RON95 hanya akan dibuat selepas penyasaran subsidi untuk diesel menjadi stabil.

"Langkah ini adalah sebahagian daripada agenda reformasi di bawah rangka kerja Ekonomi Madani dan ia penting untuk membina Malaysia yang lebih baik pada masa depan.

"Ini kerana kita mahu mendapatkan pulangan fiskal lebih elok agar boleh melabur balik pada perkara yang penting bagi membina negara.

"Kita faham kena buat rasionalisasi subsidi, kita bermula dengan diesel buat masa sekarang dan dari segi kerajaan kita fokus kepada rasionalisasi subsidi diesel, bila sudah stabil kita tengok apa yang dibuat.

"Bagaimanapun berdasarkan maklumat awal kita nampak rasionalisasi subdsidi diesel ini berjaya kerana ketirisan membabitkan diesel di sempadan negara sudah berkurangan," katanya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah menyeru mereka yang layak untuk mendapat bantuan subsidi supaya membuat permohonan dengan segera.

Pemilik kenderaan logistik yang diluluskan dan belum menerima fleet card boleh memohon pembayaran semula ini bermula 1 Julai 2024 melalui portal Budi Madani.

Disiarkan pada: June 12, 2024 @ 4:58pm
d