mutakhir

Ibu bapa Zayn Rayyan jalani rawatan psikologi

Oleh Suraya Roslan; Raja Noraina Raja Rahim dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang mati dibunuh di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini, pada Disember lalu, sedang menjalani rawatan psikologi.

Peguam Mahmud Jumaat yang mewakili ibu kepada kanak-kanak itu berkata, anak guamnya dan suaminya masing-masing menjalani rawatan terbabit selepas kejadian tragis yang berlaku ke atas anak sulung mereka kira-kira enam bulan lalu.

"Saya percaya depresi ini sudah berlaku sebelum (ditahan reman) lagi. Mana-mana keluarga apabila kehilangan orang tersayang sudah tentu akan mengalami depresi.

"Saya percaya juga dari awal kes sudah dapatkan rawatan terutama ibu bapa kepada Zayn Rayyan. Apatah lagi mempunyai anak autisme seorang lagi iaitu Mateen," katanya dalam sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini, hari ini.

Turut sama dalam sidang media berkenaan adalah peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili bapa kepada Zayn Rayyan.

Terdahulu, ibu bapa kepada Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, Disember tahun lalu.

Zaim Ikhwan yang memakai baju T berwarna hitam dan Ismanira berbaju merah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.

Mengulas mengenai keadaan pasangan terbabit, Mahmud berkata, mereka berpuas hati dengan siasatan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh reman selama 13 hari sejak 1 Jun lalu.

"Alhamdulillah, mereka gembira dan puas hati dengan siasatan PDRM. Mereka seperti orang ramai mahukan keadilan buat Zayn Rayyan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan pasangan terbabit ditahan polis di rumah keluarga mereka di Selangor dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada Isnin lalu, ibu kanak-kanak itu turut dibawa pasukan penyiasat ke lokasi kejadian dipercayai bagi lakonan semula.

Disiarkan pada: June 13, 2024 @ 1:12pm
d