mutakhir

Keluarga guru bahasa Arab terima manfaat Perkeso

Oleh Nor Amalina Alias

Bachok: Keluarga guru bahasa Arab yang maut dalam kemalangan dengan lori menerima faedah bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perekso) di sini, hari ini.

Pembayaran diterima menerusi Faedah Orang Tanggungan (FOT) selepas Allayarhamah Nur Ain Fitriah Zakaria, 25, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika pulang kerja pada 9 Jun lalu.

Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob berkata, hasil siasatan Skuad Prihatin Sinergi Perkeso negeri mengklasifikasikan kes arwah sebagai kes di bawah bencana kerja.

"Di mana waris mangsa akan menerima FOT iaitu pencen bulanan berjumlah RM1,040 sebulan sepanjang hayat untuk kedua ibu bapa.

"Dua adik arwah turut menerima faedah sehingga usia 21 tahun," katanya ketika ditemui melawat keluarga arwah di Kampung Kubang Telaga di sini, hari ini.

Nora berkata, turut disampaikan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000.

Perkeso turut menyampaikan kotak prihatin kepada keluarga guru berkenaan.

Sementara itu, bapa mangsa, Zakaria Mat, 54, berkata, arwah mencarum Perkeso sejak tiga bulan lalu selepas diterima mengajar di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Al Hidayah Al Islamiah, Kampung Chap di sini.

Menurutnya, anak kedua daripada lima beradik itu baru tamat pengajian di Mesir dan seorang ulat buku.

"Dia memang jenis tak banyak cakap, biasa kalau lepas sekolah memang dia terus pulang ke rumah, bagaimanapun kami reda dengan pemergian arwah," katanya.

Ahad lalu, Nur Ain terbabit kemalangan jalan raya dengan sebuah lori 10 tan di Kampung Kubang Telaga kira-kira hanya 1.8 kilometer daripada rumah keluarganya.

Dia yang dalam perjalanan pulang dari sekolah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dalam kemalangan pada 2 petang itu.

Disiarkan pada: June 13, 2024 @ 2:04pm
d