mutakhir

Pembiayaan SPUMI Tekun manfaat lebih 29,000 usahawan India

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional menyalurkan pembiayaan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) bernilai RM458 juta kepada 29,136 usahawan layak.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan berkata, jumlah itu direkodkan sejak skim itu dilaksanakan pada 2008 bagi memperkasa masyarakat India dalam bidang keusahawanan.

"Sejak skim ini dilaksanakan pada 2008, Tekun Nasional telah menerima peruntukan RM421.5 juta bagi melaksanakan program SPUMI.

"Untuk tahun 2024, Tekun Nasional memberi kelulusan permohonan SPUMI kepada 666 individu membabitkan nilai RM18 juta," katanya selepas Majlis Penyampaian Cek Pembiayaan Tekun SPUMI & SPUMI Goes Big di ibu pejabat Tekun di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Abdulllah Sani Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional, Datuk Adam Abd Ghani.

Ramanan berkata, Tekun Nasional meluluskan 51 permohonan SPUMI Goes Big membabitkan nilai pembiayaan RM2.5 juta sejak dilancarkan 3 April lalu.

"Sebanyak 81 permohonan diterima membabitkan nilai keseluruhan RM7.2 juta.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 51 permohonan diluluskan manakala 27 lagi masih dalam proses kelulusan lembaga mesyuarat.

"Jumlah pembiayaan bergantung kepada permohonan dan kelayakan pemohon dengan maksimum ditawarkan sebanyak RM100,000," katanya.

Ramanan turut mengingatkan penerima supaya membayar semula pembiayaan mengikut tempoh ditetapkan bagi memastikan dana itu boleh dimanfaatkan usahawan lain.

Dalam pada itu, usahawan cenderamata, Suthagaran dari Mentakab, Pahang berkata, pembiayaan berkenaan membantu memajukan perniagaan diusahakan sejak 22 tahun lalu.

"Selepas Covid-19 perniagaan saya terjejas, jadi saya memohon pembiayaan Tekun bernilai RM50,000.

"Kini, saya berjaya meluaskan perniagaan dengan membuka cawangan di Seremban dan Petaling Jaya.

"Saya harap dengan pembiayaan RM100,000 ini, saya boleh gunakan untuk memajukan lagi perniagaan saya," katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2024 @ 5:38pm
d