mutakhir

Waris jemaah haji meninggal dunia di Makkah terima faedah Perkeso

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Waris Allahyarhamah Zuraida Mohd Haris, jemaah haji yang meninggal dunia di Mekah baru-baru ini, layak menerima dua faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal berkata Zuraida, 37, merupakan pencarum yang berdaftar bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak 2011 sehingga kini dan terakhir berkhidmat sebagai guru Kelas Al-Quran & Fardu Ain (KAFA) di Sekolah Rendah Agama, Kampung Pandan di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Hasil penelitian PERKESO mengesahkan waris keluarga iaitu suami dan seorang anaknya layak menerima faedah PERKESO untuk sepanjang hayat.

"Anaknya diberikan manfaat sama sehingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zuraida yang berada di Mekah bagi menunaikan ibadah haji di bawah seliaan Lembaga Tabung Haji bersama suaminya Mohd Azmil Abdul Hamid, 38, meninggal dunia pada 10 Jun, selepas enam hari menerima rawatan akibat pendarahan otak sebelah kanan di Hospital King Abdul Aziz.

Jenazah Allahyarhamah disembahyangkan di Masjidil Haram sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syuhada Al-Haram selepas Subuh pada hari yang sama.

Sementara itu Subhan berkata waris arwah menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) RM3,000 secara sekali bayar hari ini, dan layak menerima Pencen Penakat RM682.29 setiap bulan.

Beliau berkata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed yang juga sedang menunaikan ibadah haji turut berkesempatan menyantuni suami arwah di Mekah dan menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga arwah serta berharap faedah yang diberikan Perkeso sedikit sebanyak mampu meringankan beban yang ditanggung keluarga.

Disiarkan pada: June 13, 2024 @ 6:25pm
d