mutakhir

Wang caruman Perkeso untuk keperluan pengajian anak

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Sungai Buloh: "Alhamdulillah, wang ini akan digunakan untuk menampung pengajian dua anak yang masih belajar dan kami berterima kasih dengan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menyantuni keluarga," kata Khairana Sabtu.

Khairana, 53, adalah isteri kepada bekas wartawan Majalah 3, Allahyarham Abdullah Sidek Majin, 58, yang meninggal dunia kerana kanser limfoma tahap empat, 29 Mei lalu.

Pensyarah universiti swasta itu berkata, dua daripada lima anak mereka berusia antara 20 hingga 27 tahun masih menuntut di sebuah universiti awam dan kolej swasta.

Menurutnya, kehilangan suami yang disifatkan seorang lelaki dan bapa yang penyayang serta mengutamakan keluarga sangat dirasai seluruh keluarga namun mereka reda.

"Wang caruman Perkeso itu akan digunakan untuk keperluan pengajian dua anak supaya mereka mendapat pembelajaran yang baik dan tidak perlu bimbang mengenai kos pengajian (biarpun suami sudah tiada).

"Saya memang biasa berdikari kerana tuntutan kerja suami sebelum ini yang banyak tugasan luar dan arwah juga memang memberi sepenuh kepercayaan untuk saya menguruskan anak tetapi pemergiannya tetap dirasai kami sekeluarga," katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan faedah Perkeso kepada waris Abdullah Sidek di rumah abang iparnya di Saujana Utama, di sini, hari ini.

Penyerahan itu disempurkan Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal sambil disaksikan wakil Media Prima, Pengarah Pemasaran kreatif dan Komunikasi Rangkaian Televisyen Media Prima Farah Shamsudin.

Menurut Khairana, Abdullah Sidek sebelum ini memberitahu kepada anak sulung yang dia sudah tidak larat termasuk berat badan mulai susut selepas rawatan kemoterapi ketiga namun anak tetap memberikan semangat untuk suami terus kuat.

"Sebelum sakit arwah pernah cakap andai kata saya pergi dulu dia tak tahu macam mana mahu uruskan keluarga dan anak bongsu juga ada bergurau dengan suami, anak cakap 'ibu tiada macam mana ayah nanti.'

"Arwah balas 'macam itu ayah kena meninggal dunia' dan akhirnya betul juga arwah pergi dahulu meninggalkan kami tetapi saya reda dengan pemergiannya.

"Hampir 30 tahun berkahwin hubungan kami memang rapat dan dia bukan saja suami tetapi kawan baik saya, malah arwah juga selalu cakap 'Ana kawan baik abang, abang tiada kawan baik lain,'" katanya.

Sementara itu, Subahan berkata, hasil semakan mendapati waris Abdullah Sidek layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan.

"Bayaran Pencen Penakat RM1,743.75 sebulan sepanjang hayat disalurkan kepada balunya dan anak, Ariq Mikhael, 20, sehingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan ia boleh diteruskan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama," katanya.

Majalah 3 ibarat 'Majalah Sidek'

Abdullah Sidek Majin komited dan berdedikasi

Bekas wartawan Majalah 3 meninggal dunia

Disiarkan pada: June 14, 2024 @ 2:24pm
d