mutakhir

Penganggur tak mengaku tikam bapa dengan gunting

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap bapanya dengan menggunakan gunting, pada 11 Jun lalu.

Ong Li Jie, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan kepada Ong Leng Seong, 52, dengan menggunakan gunting dalam kejadian di alamat 53-11-08 Desa Aman Persiaran Paya Terubong 1, Bayan Lepas jam 1 pagi, 11 Jun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana daripada dua hukuman terbabit jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Darrshini manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mendekati saksi dan mangsa sehingga tamat perbicaraan.

Mahkamah turut menetapkan 17 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula bagi penyerahan dokumen berkaitan kes itu.

Disiarkan pada: June 14, 2024 @ 2:55pm
d