mutakhir

'Penyasaran subsidi diesel wajar, jika ada kelemahan maklum'- PM

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan adalah langkah yang disifatkan wajar dalam menangani isu salah guna dan kecurian bahan api terbabit melibatkan warga asing sehingga mendatangkan kerugian besar terhadap negara.

Meskipun dicerca dengan dianggap zalim, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting dalam menyelamatkan dana negara yang bocor daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Tegasnya, beliau menyedari ramai yang tidak dapat menerima keputusan kenaikan bahan api berkenaan dan bersedia memperbaiki segala kelemahan yang ada.

"Kita baca liputan media (bahawa ramai) tidak dapat menerima (kenaikan) minyak diesel. (Di sini) kita nampak perlanggaran daripada (segi) peraturan diesel.

"Subsidi ini (diesel) untuk orang miskin, petani, nelayan dan pekebun kecil atau pun pihak bas sekolah dan pengangkutan awam, tetapi memang terlalu nyata orang yang mencerca kita. Tengoklah, maksud kita, kalau ada beberapa kelemahan, maklum, kita betulkan.

"Ini percubaan awal yang tentu hadapi sikit masalah. Saya tidak nafikan tetapi untuk mencerca seolah zalim menekan rakyat.

"Sebentar tadi, saya tanya jawatankuasa masjid, belia siapa terkesan dengan diesel, depa (mereka) kata tiada. Tetapi saya masih ambil sikap kalau ada masalah, tolong bagi tahu kerana (penyasaran subsidi) soal yang besar dan wajar kita teruskan," katanya.

Anwar berkata demikian kepada media ketika mengulas kewajaran penyasaran subsidi diesel dilaksanakan kerajaan.

Beliau ditemui pada Program Korban Perdana di Masjid Jamek Cherok Tokun, di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Anwar berkata, tujuan penyasaran subsidi itu dibuat kerana ia dinikmati 3.8 juta warga asing sedangkan yang membayar cukai adalah rakyat.

"Subsidi kita (kerajaan) bayar, cukai rakyat Malaysia (bayar) tetapi (subsidi diesel) warga asing dapat. Perniagaan haram guna minyak (diesel) kita.

"Dua hari sudah, semua bas pelancongan dan syarikat pelancongan dari Singapura nak naik harga sebab tak dapat subsidi, maknanya, selama berpuluh tahun subsidi kita pergi ke syarikat Singapura dan ada yang pergi ke kapal nelayan Siam, (diesel) dicuri di sana sini, bocor pun banyak.

"Bagi penanaman padi, traktor (apa sahaja perniagaan berkaitan penggunaan diesel di negara ini) kita akan bagi (subsidi) tetapi kita tidak boleh bagi dekat kaya," katanya.

Jelasnya, melalui penyasaran subsidi itu, kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan RM4 bilion yang ia boleh disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai program bantuan dan kebajikan.

Disiarkan pada: June 18, 2024 @ 12:50pm
d