mutakhir

Lelaki 'kantoi' curang sudah kena tahan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis menahan lelaki disyaki memukul isterinya selepas 'kantoi' curang di sebuah hotel di Port Dickson, baru-baru ini

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan ketika hadir di Mahkamah Syariah Bangi, dekat sini, hari ini.

"Reman terhadap juruteknik itu akan dibuat esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang suami dipercayai memukul isterinya selepas lelaki itu 'kantoi' curang di sebuah hotel di Port Dickson, baru-baru ini.

Ia susulan tular satu video berdurasi 31 saat di Facebook yang memaparkan seorang lelaki memukul wanita semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed dilaporkan berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai video tular itu pada 3 petang semalam dan siasatan mendapati ia membabitkan suami isteri dan kejadian dipercayai berlaku pada 24 Mei lalu.

Disiarkan pada: June 20, 2024 @ 9:51pm
d