mutakhir

Ibu harap CCTV dapat bantu siasatan kematian Nurhafizah

Oleh Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: Ibu kepada kanak-kanak perempuan yang maut dirempuh van sekolah Rabu lalu, mendakwa pemandu kenderaan itu memberi kenyataan tidak betul mengenai kejadian yang menimpa anak bongsunya itu.

Karmin Kahil, 39, mendakwa menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jiran, anak lelakinya, Muhammad Afieq Miqhael Nuljin, 6, didapati berjalan di hadapan van menuju ke kediaman bukan seperti dakwaan pemandu van.

"Pemandu mendakwa Nurhafizah mengekori abangnya dan mereka berjalan di belakang van tapi rakaman CCTV menunjukkan pergerakan Muhammad Afieq Miqhael di hadapan kenderaan itu dan diikuti arwah," katanya.

Karmin berkata, dia berharap rakaman itu membantu siasatan polis serta memperjelas beberapa kekeliruan dalam kejadian menimpa Nurhafizah, 5.

"Kami sekeluarga bersyukur kerana sekurang-kurangnya jiran berkongsi rakaman CCTV bagi merungkai kejadian menimpa Nurhafizah," katanya.

Dia berkata, kebiasaannya waktu kepulangan kedua-dua anaknya ke rumah berbeza menyebabkan dia tidak menunggu mereka di hadapan pagar.

"Apa pun alasan yang diberikan pemandu itu, ia tetap berpunca daripada kecuaiannya," katanya. Dalam kejadian Rabu lalu, mangsa maut dirempuh van sekolah di hadapan kediamannya di Jalan Suria, Bandar Seri Alam di sini.

Kejadian berlaku jam 11.35 pagi ketika pemandu van menurunkan mangsa dan abangnya yang juga murid prasekolah di hadapan rumah.

Akibat kejadian, mangsa parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Disiarkan pada: June 21, 2024 @ 3:15pm
d