mutakhir

Sanusi sahut cabaran main bola dengan pasukan Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sedia menyahut cabaran Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir untuk perlawanan bola sepak persahabatan di Sungai Bakap, Ahad ini.

Beliau berkata, Akmal Nasrullah bagaimanapun diminta hadir dengan perbelanjaan sendiri bagi menyertai perlawanan itu sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan tanpa menggunakan perbelanjaan kementerian.

"Boleh kalau nak lawan bola, tapi sila datang kempen dengan belanja sendiri.

"Bukan menumpang belanja kementerian atas alasan lawat loji rawatan air (LRA)," katanya menerusi Facebook rasminya, hari ini.

Terdahulu, Akmal Nasrullah yang juga Pengarah Strategi PKR membuat pelawaan berkenaan pada ceramah perpaduan yang diadakan di Nibong Tebal, semalam.

Akmal Nasrullah berkata, acara itu dilihat akan merancakkan lagi kempen PRK Sungai Bakap selain mampu mendekati anak muda.

"Kalau kita ajak debat dia tak nak dengar, kalau kita ajak bincang isu dia tak minat...tapi kalau betul dia rasa sempoi, jom turun lawan bola dengan kami pada Ahad depan," katanya.

Pada ceramah yang sama juga, Akmal turut menjemput Menteri Besar Kedah itu turut bersama dalam lawatan ke dua buah loji rawatan air di Kedah bagi meninjau perkembangan terkini kerja-kerja pembinaannya yang mengalami kelewatan.

Katanya, jemputan itu sudah dimaklumkan lebih awal kepada Kerajaan Negeri Kedah dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) sebelum ini bagi meninjau LRA Bukit Selambau dan LRA Sungai Limau.

Geng PH ajak Sanusi main bola Ahad ni, sambil bincang selesaikan isu air

Disiarkan pada: June 24, 2024 @ 2:03pm
d