mutakhir

18 pegawai, anggota PDRM sertai misi UNMISS

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Seramai 18 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyertai Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Sudan Selatan (UNMISS) berlepas ke negara itu, tengah malam tadi.

Jabatan Pengurusan PDRM dalam hantaran di Facebook hari ini berkata, mereka akan bertugas selama setahun sebagai sebahagian daripada pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di negara Afrika Utara itu.

"Penglibatan PDRM secara aktif dalam Misi Pengaman PBB bertitik-tolak dari penghantaran 14 warga PDRM ke Misi Angola sejak 1991.

"Diikuti Misi UNAMID (misi pengaman di Darfur) dari 2008 dan UNMISS pada 2011, tertakluk atas permintaan PBB New York dan PBB (sendiri)," katanya.

Menurut hantaran itu, PDRM memainkan peranan sebagai Individual Police Officers (IPOs) berkonsepkan pendekatan kepolisan tradisional yang tertumpu kepada pembaharuan, pembinaan dan penstrukturan semula bagi menjaga keamanan.

IPOs juga berperanan menangani pelbagai isu termasuk hak asasi manusia, pengawasan antarabangsa, kepolisian masyarakat dan budaya serta kesedaran sosial termasuk bimbingan dan tunjuk ajar.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan/ Perjawatan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman Deputi Komisioner Ab Rahaman Arsad menekankan tiga perkara penting ketika bertugas di Sudan.

"Pertama, jangan mengganggu agama di negara tempat bertugas, tidak mengganggu adat resam dan budaya serta patuhi setiap peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

"Bak kata bidalan, bila berjalan memelihara kaki, bila berkata pelihara lidah, ingin lurus rentangkan tali, ingin mulia tepati janji, berjalan dengan yang tua, belayar ikut kata nakhoda, belajar berkata dengan yang pandai, jangan sampai bersalam, pulang berterajang," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2024 @ 3:43pm
d