mutakhir

7 remaja kongsi gelap paksa pelajar sertai mereka didakwa

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seorang lelaki yang juga ahli kumpulan sebuah kongsi gelap, dijatuhi hukuman denda RM4,200 atau penjara setahun hari ini, kerana mencederakan tiga remaja yang enggan menganggotai kongsi gelap terbabit, dua minggu lalu.

Majistret Hidayatul Syuhada Samsudin memerintahkan hukuman itu selepas tertuduh, Lim Jian Yau, 20, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan tiga remaja berusia 15 tahun berkenaan.

Jian Yau dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan memukul tiga remaja berbeza dengan menggunakan tangan dan kakinya.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan semak belakang taman permainan Taman Mutiara Rini, Skudai, kira-kira jam 8 malam, 15 Jun lalu.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

Majistret memerintahkan tertuduh didenda RM1,400 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal membayar denda, dia akan dipenjara empat bulan bagi setiap pertuduhan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Adriana Azrin manakala tertuduh diwakili Jason Tan Ka Yan dan Mohamed Imran Mohamed Sam.

Mengikut fakta kes, tiga mangsa berusia 15 tahun itu berada di sebuah pusat belah-belah di Skudai sebelum didatangi 10 individu yang mengepung serta memaksa mereka menyertai sebuah kumpulan kongsi gelap.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa enggan menyertai kumpulan kongsi gelap itu sebelum dipaksa menaiki sebuah kereta dan dipukul serta dicederakan menggunakan kekerasan jenayah.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Juvana, tujuh remaja ahli kongsi gelap sama yang berusia 15 hingga 18 tahun berdepan sembilan pertuduhan kerana mencederakan dan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Mereka didakwa mencederakan tiga remaja yang sama dengan memukul mereka, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Ketujuh-ketujuh remaja itu juga didakwa menggunakan kekerasan dengan mencabul kehormatan tiga mangsa yang sama, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 24, 2024 @ 4:31pm
d