mutakhir

Tiada rancangan bina laluan khas motosikal di lebuh raya sudah beroperasi - Alexander

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kerajaan memaklumkan tidak mempunyai perancangan untuk membina laluan khas motosikal di lebuh raya yang sedang beroperasi pada masa ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini kerana ia akan membabitkan kos tambahan yang tinggi kepada kerajaan berikutan skop berkenaan tiada dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya.

"Bagaimanapun, pihak kerajaan akan meneliti perkara ini dalam rundingan cadangan projek lebuh raya baharu pada masa akan datang tertakluk kepada beberapa faktor seperti kadar tol dan tempoh konsesi," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai perkembangan terkini dasar mewajibkan laluan khas motosikal di lebuh raya dan hasrat untuk menambah baik lebuh raya yang tidak mempunyai laluan khas motosikal termasuk Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3).

Shaharizukirnain turut bertanyakan mengenai usaha untuk mengurangkan risiko ancaman keselamatan di laluan motosikal yang disediakan di lebuh raya.

Mengulas mengenai cadangan penyediaan laluan khas bagi penunggang motosikal di LPT 3, Alexander berkata, perkara itu akan diteliti di peringkat Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri.

"Ini kerana cadangan laluan khas penunggang motosikal ini akan memberikan impak kepada kos pembinaan dan daya maju projek tersebut yang akhirnya akan diimbangi oleh kadar tol tinggi dan tempoh konsesi lebih panjang," katanya.

Menyentuh mengenai usaha mengurangkan risiko ancaman keselamatan di laluan motosikal yang disediakan di lebuh raya, Alexander berkata, pemantauan aspek keselamatan dilaksanakan menerusi rondaan berkala oleh syarikat konsesi lebuh raya.

Katanya, pemantauan juga dibuat menerusi imej kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di beberapa lokasi berisiko dan strategik di lebuh raya.

"Selain itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan keselamatan pengguna lebuh raya termasuk penunggang motosikal.

"Usaha turut dijalankan oleh LLM dan syarikat konsesi untuk mengurangkan kadar kemalangan membabitkan penunggang motosikal menerusi kempen keselamatan yang diadakan dari semasa ke semasa serta kerjasama dengan komuniti setempat," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2024 @ 10:02am
d