mutakhir

Penunggang motosikal mati langgar kerbau

Oleh Omar Ahmad 

Johor Bahru: Seorang penunggang motosikal yang juga pekerja Malaysia di Singapura meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya merempuh kerbau liar, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan membabitkan mangsa yang berusia 53 tahun berlaku di Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram dekat sini, jam 3.40 pagi.

"Siasatan awal mendapati, mangsa yang datang dari arah Tebrau menghala ke Singapura, terlanggar kerbau di laluan motosikal.

"Mangsa yang parah disahkan mati di lokasi. Mayat dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.

"Kerbau terbabit juga mati akibat rempuhan," katanya pada kenyataan, hari ini dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, rakaman kejadian terbabit tular di media sosial. Kemalangan didakwa berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura melalui laluan yang tiada kemudahan lampu jalan selain keadaan jalan juga teruk.

Disiarkan pada: June 26, 2024 @ 11:22am
d