mutakhir

Polis siasat ucapan Firdaus Wong berkaitan kanak-kanak peluk Islam

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Polis membuka kertas siasatan ke atas pendakwah, Firdaus Wong susulan tular video yang menasihatkan seorang lelaki mengenai cara menangani permintaan remaja bawah umur untuk memeluk Islam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, setakat ini empat laporan polis sudah diterima dan tiga individu sudah dirakam percakapan.

Menurutnya, pihaknya juga sudah menghubungi Firdaus Wong untuk dirakam percakapan dan beliau memaklumkan sedia datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

"Permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ke atas TikTok yang dilihat oleh pengadu sudah dilakukan bagi tujuan mendapatkan pengendali dan pemiliknya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Sementara itu, Firdaus berkata, beliau mengesahkan polis sudah menghubunginya bagi dirakam percakapan.

"Cuma buat masa ini saya belum berkesempatan untuk hadir memberi keterangan kerana jadual yang agak padat serta banyak perkara perlu diselesaikan sebelum ke Eropah Julai ini atas tujuan dakwah.

"Saya sedang mengatur masa yang sesuai untuk memberi keterangan, cuma saya dimaklumkan laporan dibuat seorang individu namun tidak diberitahu secara spesifik berkaitan kes apa namun ada beberapa peguam yang mengeluarkan kenyataan berkaitan video TikTok ucapan mengenai cadangan memeluk Islam kanak-kanak," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2024 @ 1:31pm
d