mutakhir

'Cipta rekod' kayuh basikal tua 300 km

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Hanya menggunakan 'jentera' basikal tua, tiga lelaki termasuk seorang warga emas mencabar diri merentas tiga negeri dengan jarak kayuhan kira-kira 300 kilometer (km) bermula semalam.

Ringkasan Berita
  • Tiga lelaki mencabar diri merentas tiga negeri menggunakan basikal tua tanpa modifikasi.
  • Mereka perlu mengayuh 80 hingga 90 km sehari untuk menyelesaikan perjalanan ini.
  • Mereka ingin menyampaikan mesej basikal tua masih mampu menjadi pengangkutan jarak jauh.
  • Mohd Ariff Bidin, 43; Mohamad Sarif Mohamed Yusuf, 45 dan Mohd Nasir Abd Wahab, 63, menyasarkan untuk menyempurnakan kayuhan dari Ampangan, di sini, ke Selat Tebrau, Johor Bharu, Johor dalam masa empat hari.

    Justeru itu, Mohd Ariff berkata, mereka perlu mengayuh sejauh 80 hingga 90 km sehari bagi melengkapkan perjalanan pada 28 Jun depan.

    "Kami bertiga daripada Kelab Basikal Tua Seremban (KBTS) bertolak dari Ampangan pada Selasa menuju ke arah Rembau, seterusnya masuk ke Melaka dan bermalam di masjid dekat Cheng.

    "Hari kedua, semalam (kelmarin) kami kayuh ke arah Serkam dan masuk ke Muar, Johor sebelum tiba di Batu Pahat dan bermalam di sini, malam tadi. Kami sudah berkayuh sejauh 160 km dan masih berbaki kira-kira 140 km," katanya ketika dihubungi.

    Pengerusi KBTS itu berkata, ini bukan kali pertama mereka merentas negeri lain dengan mengayuh basikal tua kerana sebelum ini pernah melakukan perkara sama beberapa kali.

    Berbanding menggunakan 'road bike' yang mempunyai prestasi yang lebih baik, Mohd Ariff berkata, mereka mahu mencipta sejarah buat diri sendiri menggunakan basikal tua yang menjadi hobi mereka.

    "Basikal tua jenis Raleigh yang saya gunakan ini berusia kira-kira 70 tahun tanpa sebarang modifikasi dan semuanya masih dalam keadaan asal.

    "Berbanding basikal biasa yang digunakan untuk 'touring' yang mempunyai gear, basikal kami bertiga memang tiada teknologi itu. Jadi, itulah cabaran buat kami, namun siap menyahutnya.

    "Kayuhan sebelum ini memberikan pengalaman kepada kami selain persediaan dari segi mental dan peralatan juga penting," katanya.

    Tambahnya, selain menguji kekuatan masing-masing, mereka juga mahu memberi mesej kepada orang ramai bahawa basikal tua ini masih wujud dan mampu menjadi pengangkutan dalam jarak jauh.

    "Kami mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sembilan pada basikal masing-masing. Sepanjang perjalanan, kami menerima maklum balas yang juga baik selain sokongan daripada penduduk setempat," katanya.

    Disiarkan pada: June 27, 2024 @ 1:59pm
    d