mutakhir

'Saya hanya beri air mineral sahaja'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Sepang: Usaha murni seorang penjawat awam memberikan air kepada jemaah haji dari Indonesia yang sedang makan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, mendapat perhatian netizen di TikTok.

Inisiatif itu dilakukan Muhammad Wazir Che Ani, 36, yang memberikan air mineral kepada kumpulan jemaah haji itu yang transit di KLIA, di sini, pada 2.30 pagi, 21 Jun lalu.

Perkongsian lelaki itu di TikTok mendapat perhatian netizen termasuk dari Indonesia yang memuji usaha dilakukan bapa kepada tiga anak itu yang menyantuni jemaah yang berusia antara 50-an hingga 70-an.

Muhammad Wazir berkata, dia tidak menyangka video itu akan mendapat perhatian, malah netizen dari Indonesia juga turut meninggalkan komen positif dan turut berterima kasih kerana menyantuni rakyat negara mereka.

"Saya terkejut juga kerana saya hanya berikan air mineral sahaja lagipun hanya air itu yang ada di tempat kami bertugas. Sebenarnya saya ternampak beberapa jemaah haji Indonesia yang sedang makan dan mereka hanya ada sebotol air mineral.

"Air dalam botol itu tidak penuh dan saya tanya kalau mereka ada air lain tetapi katanya tiada. Jadi saya beli air untuk beri kepada mereka dan kemudian ada jemaah lain dari negara sama juga turut meminta air.

"Sebenarnya ada penapis air berhampiran kawasan itu tetapi mungkin mereka tak tahu. Kami sempat bersembang dan jemaah itu beritahu mereka mahu pulang ke Pekan Baru, Indonesia," katanya ketika dihubungi.

Katanya, niatnya hanya untuk membantu dan bukan untuk meraih perhatian atau pujian netizen dengan perkongsian video itu di TikTok namun mengakui gembira jika ia memberi pandangan positif kerana ketika ini banyak perdebatan antara rakyat Malaysia dan Indonesia di media sosial.

"Saya fikir kita bantu orang nanti orang pula akan bantu kita dan mana tahu ada ahli keluarga kita juga nanti yang berdepan situasi sama Insya-Allah akan ada orang lain akan bantu juga.

"Bagi saya tak salah berbuat baik dengan sesiapa saja lebih -lebih lagi Malaysia dan Indonesia serumpun dan berjiran.

"Saya gembira dapat membantu walaupun hanya air mineral saja dan jemaah itu juga sangat menghargainya," katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2024 @ 2:34pm
d