mutakhir

Dua maut bas terbalik di Genting Highlands

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Bentong: Dua maut manakala 19 individu termasuk pemandu cedera selepas bas persiaran dinaiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands, di sini, hari ini.

Difahamkan dua daripada mangsa dilapor tersepit dan disahkan meninggal dunia.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 10.43 pagi.

"Sepasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong, BBP Genting Highlands dan Unit Kebakaran Genting dikejarkan ke lokasi.

"Sejurus tiba, didapati dua penumpang tersepit di dalam bas manakala 19 orang mangsa dibawa keluar dari bas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bas persiaran berkenaan membawa 11 penumpang lelaki dan tujuh wanita warga China.

"Manakala tiga lagi mangsa adalah pemandu dan dua pemandu pelancong warga tempatan.

"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: June 29, 2024 @ 1:16pm
d