rap

Filem Mawi Tiada Tajuk

Oleh Norhayati Nordin

“SEBENARNYA, memang judul asal yang saya dah pilih untuk diletakkan bagi filem ini ialah Tiada Tajuk.

"Apatah lagi, saya dan isteri, Ekin sepakat dengan judul ini kerana belum ada orang pernah meletak tajuk sebegitu,” kata pelakon dan pengarah, Asmawi Ani atau Mawi.

Menolak dakwaan dia cuba mewujudkan 'gimik' untuk tujuan publisiti awal filemnya, Mawi, 37, memberitahu ia berlaku secara kebetulan.

"Apapun, saya sebenarnya selalu ditanya dengan dua soalan berkenaan filem ini, apa tajuk dan bila nak ditayangkan.

"Saya ada saja memberitahu judulnya Tiada Tajuk, tapi bergantung pada pemahaman setiap orang yang kebanyakan tidak dapat tangkap penerangan itu," katanya.

Menurutnya, bukan mudah untuk menghasilkan filem tetapi dia nekad berusaha berikutan perancangan pun sudah dibuatnya sejak tiga tahun lalu.

Penggambaran dibuat selama 30 hari itu merangkumi lokasi di Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Terdahulu, selepas berteka-teki agak lama akhirnya Mawi membuat pengumuman bahawa judul sebenar filemnya adalah Tiada Tajuk.

Filem pertama arahan Mawi itu akan ditayangkan di seluruh negara pada 4 April nanti di 77 pawagam.

Mengetengahkan genre Islamik komedi, filem diletakkan di bawah klasifikasi P13 itu menampilkan pelakon utama seperti Hazana, Along Cham dan Joey Daud.

Pada majlis pelancaran diadakan di ibu kota itu, turut diumumkan juga peraduan tonton dan menang hadiah menarik kepada penonton bertuah.

Hadiah disediakan berupa sebuah kereta Produa Bezza, motosikal, pakej umrah untuk dua orang dan pakej melancong dua orang ke Australia tajaan syarikatnya, Mawi World.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 10:13pm
d