rap

Shiha Zikir bukan 'kaki kipas'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Shiha Zikir tidak menafikan sikapnya yang baik terhadap semua orang menimbulkan salah faham apabila ada pihak yang menganggap dia sebagai 'kaki kipas' untuk mendapatkan manfaat.

Shiha ketika dihubungi berkata, dia menjaga hubungan baik dengan ramai orang kerana dia juga bekerja di belakang tabir dan bukan hanya bergerak sebagai artis sahaja.

"Saya pernah ditanya dengan persoalan sama baru-baru ini dan di sini, saya tegaskan bahawa saya menjaga hubungan baik dengan semua orang tanpa sebarang agenda tersembunyi," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Shiha, dia juga bersyukur sekiranya sikapnya itu menjadikannya murah rezeki.

"Tak rugi pun kalau kita berbuat baik dengan semua orang.  Saya di sini (dalam industri hiburan) adalah untuk mencari rezeki dan bila kita baik dengan orang, Allah akan kurniakan banyak rezeki.

"Kalau nak cakap saya berkawan dengan orang-orang tertentu seperti penerbit program besar atau orang kenamaan sebab nak dapatkan 'job', tak ada pula saya muncul dalam program mereka. Kalau betul saya 'kaki kipas', saya tak payah kerja pun. Goyang kaki saja, projek dan 'job' masuk," katanya.

Shiha bagaimanapun tidak menyalahkan mana-mana pihak.

"Saya tak salahkan mereka sebab kita tak boleh kawal kata-kata orang. Saya anggap ini sebagai lumrah sebab orang suka melihat dengan mata kasar tanpa mengetahui cerita sebenar di sebalik apa yang mereka nampak," katanya.

Terbaru, Shiha sedang menjalani penggambaran filem komedi seram berjudul Hantu Ke-5 di samping barisan pelakon lain antaranya Elly Mazlein, Izzue Islam dan ramai lagi.

Disiarkan pada: December 15, 2020 @ 5:24pm
d