rap

Zombitopia baris nama besar

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

SEPATUTNYA filem Zombitopia yang membariskan nama-nama besar iaitu Shaheizy Sam, Bront Palarae, Datin Elvina Mohamad, Sharifah Amani dan Azman Hassan sudah menemui peminat pada 13 Februari tahun lalu.

Bagaimanapun, penularan Covid-19 membuatkan pengarahnya MJ Woo terpaksa mencari tarikh baru yang lebih sesuai.

Lebih setahun ditunda, keputusan dibuat penerbitnya Greenlight Pictures dan Lomo Pictures untuk menayangkannya di saluran penstriman Disney + Hotstar bermula semalam.

MJ Woo mengakui filem yang dihasilkan pada 2016 dengan kos RM3 juta ini masih relevan untuk tontonan masyarakat.

"Saya amat lega filem ini akhirnya dapat menemui peminat. Ia sesuai untuk tontonan kerana menampilkan kisah zombi yang menarik.

"Banyak tarikan ditampilkan serta terdapat juga elemen penggunaan imej janaan komputer (CGI) untuk babak-babak di dalamnya.

"Saya sangat gembira dapat bekerja dengan barisan pelakon terbaik negara. Ia satu impian yang menjadi kenyataan," katanya.

Menurutnya, ada ketika pelakon-pelakon keliru kerana disuruh berlari di babak ini kemudiannya diisi dengan CGI, namun ia satu pengalaman baru buat mereka.

Perkara ini diakui Sharifah Amani yang membawakan watak Maya dalam filem terbabit.

"Peranan saya sebagai ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyelamatkan dunia dari kekacauan yang dicetuskan Dr Rahman (Bront Palarae).

"Saya kena buat beberapa babak aksi juga di mana saya kena lari lintang-pukang untuk elak bom. MJ Woo suruh saya lari sedangkan saya tak tahu untuk apa.

"Dia kemudian suruh saya lari ke arah yang ditunjukkan dan tunjuk reaksi berdepan bom sedangkan di situ kosong. Agak susah sebenarnya babak itu," katanya.

Shaheizy Sam pula menyifatkan filem ini agak kena dikaitkan dengan Covid-19 yang sedang berlaku di seluruh dunia.

"Anggaplah zombi dalam filem ini sebagai wabak Covid yang buat orang rasa takut nak keluar rumah. Zombi itu umpama virus yang sentiasa mengejar sehingga buat kita rasa takut. Kena cari jalan untuk pastikan kita selamat dan berjaya atasi ancaman ini.

"Saya dapati industri perfileman kita masih ketandusan naskhah-naskhah bermutu yang memfokuskan penceritaan berelemen zombi," katanya.

Menurutnya, penonton tempatan menggemari karya seperti itu dan boleh diterima jika digarap dengan baik.

"Sebelum ini kita pernah disajikan dengan filem Zombi Kampung Pisang dan ia amat digemari dan begitu popular kerana ada suntikan humor atau komedi.

"Tetapi kalau nak cakap pasal filem zombi yang serius, belum ada lagi saya rasa daripada pengkarya tanah air kita. Penceritaan zombi pula bukan semata-mata zombi. Biasanya ada elemen lain yang kita boleh tengok contohnya kekeluargaan, persahabatan dan kemanusiaan," katanya.

Sam berkata, menerusi cara ini, bukan saja orang kita, bahkan satu dunia pun boleh menerimanya.

Filem Zombitopia membawa penonton merasai pengalaman berbeza sekiranya dunia ini dipenuhi dengan zombi.

Ia mengisahkan mengenai sejenis virus yang menyerang manusia sehingga mereka yang dijangkiti bertindak ganas pada 15 tahun lalu.

Penyebaran virus ini menyebabkan dunia menjadi huru-hara dan kecoh sehingga mengganggu gugat ketenteraman awam.

Disiarkan pada: July 3, 2021 @ 6:20am
d