rap

Cabar diri jadi penyanyi

Oleh Syafil Syazwan Jefri

JIKA sebelum ini, nama Chazynash dikenali sebagai pempengaruh popular di Instagram atau Instafamous dan kerap dilihat menyanyikan lagu parodi, kini dia melangkah dan mencabar kemampuannya sebagai penyanyi.

Terbaharu, anak kelahiran Perlis itu berkolaborasi dengan penulis lagu muda yang berbakat, Dani Kurama dan melancarkan single berentak balada, Jika Aku Pergi.

"Mungkin ramai lebih mengenali saya sebagai personaliti media sosial dengan video tular yang saya hasilkan bersama isteri, namun minat menyanyi itu sebenarnya sudah lama wujud.

"Sebelum ini, saya ada menghasilkan beberapa lagu, namun kebanyakannya berbentuk parodi. Sehinggalah saya bertemu Dani Kurama dan kini yakin masanya sesuai untuk muncul dengan sesuatu yang lebih serius menerusi platform yang disediakan Rocketfuel Indie Space Station," katanya.

Berkongsi mengenai kolaborasi dengan Dani, Chazy atau nama sebenarnya Syed Fernarsh Syed Badlishah berkata, ini bukan kolaborasi pertama mereka memandangkan pernah bekerjasama dalam single terdahulu.

"Saya dan Dani pernah menghasilkan single sebelum ini, namun kurang mendapat sambutan, dan dengan adanya platform yang disediakan Rocketfuel Indie Space Station ini, semoga ia dapat melonjakkan lagi nama kami berdua di persada industri muzik tempatan.

"Oleh kerana kami berdua pernah bekerjasama sebelum ini, proses rakaman berlangsung dengan lancar tanpa sebarang masalah dan saya senang berkolaborasi dengan Dani. Dia sangat berbakat, memiliki idea yang kreatif dan dedikasi yang ditunjukkan wajar dijadikan contoh," katanya.

Selain bertindak sebagai penyanyi bersama, Chazy turut mencurahkan idea kreatifnya dengan mengarahkan muzik video Jika Aku Pergi.

Sementara itu, bagi Dani pula, dia tidak menghiraukan kata-kata yang menjatuhkan semangat dan terus meneroka bakat dengan niat ingin berkarya.

"Muzik sudah sebati dalam diri dan saya tak peduli dengan apa orang kata kerana yang penting niat saya ikhlas dalam menghasilkan sesuatu. Setiap karya yang saya ciptakan dekat di hati kerana ada kaitan dengan kisah peribadi.

"Single Jika Aku Pergi menceritakan mengenai sepasang kekasih yang bercinta, namun kecundang di tengah jalan kerana teman wanitanya tiba-tiba berubah hati dan beralih kepada lelaki lain yang jauh lebih kaya dan berjaya dalam hidup.

"Namun, bekas teman lelakinya itu tetap mencintai dan merinduinya walaupun sudah berpisah dan hanya mampu berdoa dan mengharapkan yang terbaik dari jauh," katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2021 @ 6:40am
d