rap

Nelydia Senrose, suami berangkat tunai haji

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Nelydia Senrose dan suaminya, Mohd Hafez Halimi berangkat ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji, hari ini.

Nelydia menerusi perkongsian di Instagram berkata, dia bersyukur apabila dipilih menjadi tetamu Allah untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

"Saya Nik Zaris Nelydia dan suami tersayang, Mohd Hafez Halimi dengan rasa penuh kesyukuran, gembira dan tawaduk, di atas kebesaran Sang Pencipta yang Maha pengasih dan mengasihani yang mengizinkan kami untuk menjadi Duyufurrahman (tetamu Allah) bagi menunaikan ibadah haji.

"Ini adalah anugerah Allah yang maha agung buat kami berdua. Saya dengan penuh rasa kerdil dan rendah diri ingin memohon seribu kemaafan kepada semua yang mengenali saya.

"Segala salah dan silap, terkasar bahasa yang saya sedari mahupun tanpa sengaja atau terlepas pandang selama ini. Halalkan makan minum kami," tulisnya dalam satu hantaran terbaharu di Instagram, hari ini.

Nelydia yang memuat naik gambar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut memohon doa agar mereka selamat pergi dan balik.

"Saya mohan agar dapat dititipkan doa buat saya dan suami agar selamat pergi dan balik. Dipermudahkan segala urusan dan dengan izin-Nya mendapat haji mabrur.

"Segala yang saya hajatkan, semua yang saya impikan, apa yang saya bayangkan, tidak akan terlawan dengan anugerah daripada-Nya ini, yang tidak akan mungkin saya dustakan, sehingga ke akhir hayat," tulisnya.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Nelydia untuk mendapatkan komen lanjut mengenai pemergiannya ke Tanah Suci tidak berjaya.

Disiarkan pada: July 3, 2022 @ 6:22pm
d