rap

Along Cham belum ada keinginan nak kahwin lagi

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur : Pelakon dan pelawak Along Cham, 40, kerap diusik anaknya, Ahmad Daniel, 12, untuk mencari suri hati baru selepas lebih tujuh tahun bergelar bapa tunggal.

Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad bagaimanapun masih belum ada keinginan untuk kembali berkahwin dan tidak ada masa mencari cinta ketika ini.

"Masih solo lagi, terlalu sibuk dengan kerja dan cari rezeki. Kehidupan saya sekarang, kalau ada penggambaran, lepas habis terus balik rumah. Rakan-rakan pun kadang-kadang bising tak ikut lepak kalau diajak.

"Saya kurang berpeleseran nak cari jodoh. Nak kahwin kena ada keinginan, betul tak? Kalau kata bercinta, bercinta sajalah sampai 10 tahun. Anak saya okay saja, dia paling kuat menyakat. Tapi saya cakap nantilah, ada (jodoh), adalah," katanya.

Pelakon filem Adnan Sempit itu mengakui berat tanggungjawab dipikul jika dia mahu berkahwin semula selepas ini. Dia kena utamakan anaknya dalam segala keputusan.

"Kalau saya nak kahwin kali ini, kena pastikan keputusan itu adil untuk anak saya. Sama juga dengan ibu tunggal yang ada anak di sisi, dia kahwin, suami dia kena terima anak dia.

"Saya pegang satu saja, pakar agama selalu cakap kalau lambat itu bersebab. Mungkin Allah nak bagi saya bantu keluarga dulu, bantu adik saya yang masih belajar," katanya.

Along juga sangat bersyukur Ahmad Daniel dianugerahkan hati yang tenang dalam menangani hal-hal membabitkan topik keluarganya di media sosial termasuk kisah silam bekas isterinya.

"Baru-baru ini saya ada terkilan sedikit sebab ada pihak tularkan semula kisah silam itu. Sebelum ini pun pernah sampai ke pengetahuan di sekolahnya. Tapi, dia ambil hal itu dengan tenang.

"Tak tahulah penularan yang terbaru ini sudah merebak ke sekolahnya juga. Saya ada minta kenalan rapat suruh padam hantaran itu. Satu, ia tak bagus untuk anak saya dan tak bagus juga kepada perkahwinan bekas isteri saya. Ia boleh mendatangkan kemudaratan," katanya.

Along pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas bintang Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Zila Seeron, 34, pada 23 Januari 2010. Bagaimanapun, mereka bercerai pada 29 Ogos 2016.

Disiarkan pada: July 15, 2023 @ 1:05pm
d