rap

Tyzo tunggu 25 tahun menang anugerah

Oleh Ramlah Zainal 

Kuala Lumpur: "Saya sudah menunggu selama 25 tahun untuk memenangi anugerah berprestij ini. 

"Anugerah ini sangat besar maknanya buat karier saya," kata Penyampai Suria FM, Tyzo.

Tyzo berkata demikian ketika diminta mengulas kemenangannya dalam

kategori Penyampai Radio Popular, pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-35 yang berlangsung di Istana Budaya, di sini, malam tadi.

Menurut Tyzo atau nama sebenar, Tuah Zolqarnain Idris, dia berasa sebak kerana tidak menyangka kemenangannya itu.

"Saya pernah bolos Top 5, kategori sama tapi tidak menang dan ini adalah anugerah pertama.

"Saya juga tiada kelab peminat dan hanya bergantung pada pendengar di radio.

"Kemenangan ini adalah hadiah dari peminat dan pendengar segmen Suria Petang," katanya kepada Harian Metro.

Pada malam itu, Tyzo juga mencipta kejutan apabila berjaya merampas trofi Penyampai Radio Popular dari DJ Lin yang pernah memenangi kategori itu sebanyak empat kali iaitu pada ABPBH 29, ABPBH 32, 33 dan 34.

Mengulas kemenangannya menewaskan DJ Lin yang juga Pengurus Besar Suria FM, kata Tyzo, setiap penyampai ada bakat masing-masing.

"Pendengar Suria FM melihat hasil kerja keras saya. Saya juga bekerja pagi, petang dan bertukar gandingan penyampai sepanjang di stesen ini.

"Saya tidak boleh cakap lebih-lebih kerana dapat tewaskan DJ Lin kerana dia adalah bos saya," katanya.

Ditanya gandingannya dengan Kak Rara (Sharifah Shahirah) dalam segmen Suria Petang pula, kata Tyzo, Kak Rara adalah gandingan terbaiknya setakat ini.

"Saya percaya ramai pendengar yang menyukai gandingan dengan Kak Rara.

"Saya juga tidak tahu berapa lama lagi saya akan bersama stesen Suria FM kerana kini sudah ramai penyampai baru.

"Apapun, hanya Suria FM yang pandang kerja saya dan saya sangat hargainya," katanya.

Selain DJ Lin, Tyzo berjaya menewaskan calon Top 5 kategori Penyampai Radio Popular antaranya DJ Sonic (Nasional FM), Haiza (Kool 101) dan Johan (Hot FM)

Mengimbas latarnya, Tyzo sudah lebih dua dekad berkecimpung dalam industri radio.

Tyzo pernah meninggalkan Suria FM pada 2012 dan kembali semula ke stesen berkenaan pada 2016.

Tyzo menyertai dunia penyiaran menerusi stesen radio Muzik FM pada 16 Julai 2004. 

Selain itu, dia juga pernah berkhidmat di stesen Ultra FM dan Pi Mai FM sebelum beralih ke Selangor FM.

Disiarkan pada: July 22, 2023 @ 10:10am
d