rap

Konsert bukan pentas luah kenyataan provokasi - Presiden Karyawan

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez menegaskan tindakan undang-undang perlu diambil terhadap kumpulan muzik dari United Kingdom, The 1975 yang melakukan tindakan provokasi terhadap agama rasmi dan undang-undang Malaysia di pentas konsert Good Vibes Festival 2023 semalam. 

Freddie ketika dihubungi berkata, tindakan undang-undang itu perlu memandangkan pihak penganjur, Future Sound Asia juga turut berdepan kerugian selepas Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memutuskan acara itu dibatalkan serta merta. 

"Saya rasa, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap artis itu juga kerana pihak penganjur, tentunya sudah kerugian besar memandangkan festival anjuran mereka sudah dibatalkan. 

"Jadi, penganjur itu juga perlu ambil tindakan dengan menyaman artis itu. Biar mereka turut sama menanggung kerugian. 

"Pihak berkuasa tempatan pun, kalau boleh, ambillah tindakan andai kata mereka masih belum keluar dari Malaysia," katanya kepada Harian Metro. 

Cadang Freddie, perlu diwujudkan satu garis panduan baharu membabitkan penganjur acara, dengan artis dari luar negara yang dijemput untuk mengadakan persembahan di negara ini. 

"Saya menyokong tindakan kerajaan kerana apa yang dilakukan oleh vokalis kumpulan itu, memang kurang ajar. Kita tak perlukan artis sebegini. 

"Saya rasa, kena ada kepastian di mana, semua artis yang datang dari luar, tahu mengenai undang-undang dan peraturan negara kita sebelum mereka tanda tangan kontrak. 

"Mereka kena tahu apa yang boleh dan apa yang tak boleh dilakukan. Selepas mereka diberitahu, mereka buatlah keputusan sama ada setuju untuk datang dan patuh atau tidak. Mungkin perlu ada garis panduan baharu," katanya. 

Freddie juga menegaskan bahawa pentas acara konsert sebegitu bukanlah platform untuk melontarkan kenyataan berbaur provokasi. 

"Saya rasa, untuk menggunakan insiden ini bagi menyekat kehadiran artis dari luar negara, itu tidak wajar kerana ada juga yang mematuhi undang-undang negara kita. Contohnya, Selena Gomez. Dia patuh dengan peraturan yang ditetapkan dan semuanya berjalan lancar. 

"Kalau tak setuju dengan undang-undang kita pun, tak perlu nak melakukan apa-apa tindakan provokasi. Datang, buat persembahan, balik dan jangan datang lagi kalau tak suka. 

"Jangan gunakan pentas sebagai platform untuk keluarkan kenyataan provokasi berkaitan politikal, gunakan bahasa kesat dan melakukan tindakan kurang ajar yang tidak diterima masyarakat kita," katanya. 

Disiarkan pada: July 22, 2023 @ 2:58pm
d