rap

Hilang punca pendapatan, M Jamil alami tekanan emosi

Oleh Najiy Jefri

Puchong : Sejak diserang angin ahmar enam tahun lalu, pelakon dan pengarah, M Jamil, 59, mengaku berdepan tekanan emosi dan masalah kewangan yang tinggi akibat hilang punca pendapatan.

Jamil yang kini terpaksa berkerusi roda berkata, dia tidak menolak sekiranya ada tawaran yang sesuai untuk dibuat kerana minat terhadap dunia seni masih utuh.

"Hampir enam tahun saya sudah tidak terima sebarang tawaran kerja seni. Itu yang membuatkan saya semakin tertekan.

"Kalau ada tawaran kerja yang sesuai saya tidak menolak sebab ingatan saya masih kuat, cuma fizikal yang agak terbatas. Kalau nak minta saya beri idea untuk sebarang projek saya masih mampu.

"Saya akui punca saya makin berdepan tekanan disebabkan tahap kesihatan saya semakin merosot. Ia mengganggu emosi dan mental. Lebih-lebih lagi kalau tak ada orang datang melawat, tekanan itu jadi makin teruk," katanya.

Jamil berkata demikian ketika ditemui di program Ziarah Seni Madani anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 2024 bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Taman Puchong Utama, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Muttalib yang menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan makanan.

Menurut Jamil atau nama sebenarnya Mohamad Jamil Zulkifli, dia kini terpaksa bergantung dengan bantuan daripada badan kebajikan untuk meneruskan hidup selain perlu membesarkan dua anaknya yang masih bersekolah.

"Selepas hilang punca pendapatan, saya ada buat kerja sambilan secara dalam talian selain mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat.

"Walaupun jumlah diterima tak besar, tapi sedikit sebanyak membantu untuk kelangsungan hidup. Apa yang menjadi keutamaan saya sekarang adalah untuk membesarkan dua anak saya," katanya.

Mengulas mengenai tahap kesihatannya, anak kepada seniwati legenda Datuk Sarimah Ahmad itu berkata, dia tidak pernah putus ikhtiar untuk menjalani sebarang rawatan walaupun perlu membelanjakan kira-kira RM500 sebulan untuk menampung kos ubat-ubatan.

"Saya tak pernah putus ikhtiar untuk menjalani rawatan. Sudah tentu harapan untuk sembuh itu masih ada. Selepas lima tahun ulang-alik untuk buat rawatan di hospital, saya kini cuba ikhtiar cara lain dengan rawatan tradisional, berurut dan pengambilan suplemen.

"Memandangkan saya turut menghidap penyakit lain seperti kolestrol tinggi dan kencing manis, jadi kos ubat-ubatan bulanan mencecah sekitar RM400 hingga RM1,000," katanya.

Sementara itu, Jamil meluahkan rasa syukur dan gembira apabila menerima kunjungan menteri dan wakil Finas ke kediamannya, hari ini.

"Saya terharu dan bersyukur apabila beliau sudi meluangkan masa. Saya akan seronok kalau ada orang datang melawat sebab boleh berikan semangat.

"Menteri juga ada maklumkan untuk bantu saya dari segi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Jadi, saya sangat menghargai segala bantuan dan sumbangan yang diberikan," katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2024 @ 1:11pm
d