rap

Isteri 'lari' sebulan kerana dituduh curang - Yusof Haslam

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penerbit dan pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam memberitahu lagu Permata Untuk Isteri nyanyian kumpulan Kopratasa mempunyai makna yang cukup mendalam untuk dia dan isteri, Datin Patimah Ismail apabila berlaku satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan.

Yusof ketika ditemui sempena majlis ulang tahun perkahwinan yang ke-41 berkata, akibat daripada khabar angin yang tidak benar mengenai dia dikatakan curang, Patimah mengambil keputusan untuk menghilangkan diri selama sebulan tanpa sebarang khabar berita.

"Akibat salah sangka isteri saya merajuk dan membawa diri ke sebuah sekolah pondok di Pokok Sena, Kedah bagi mendalami ilmu agama. Ketika itu, saya dan keluarga buntu kerana tidak tahu ke mana lokasi isteri saya melarikan diri. Waktu itu, telefon bimbit pun dia tak bawa.

"Sudahlah ketika itu anak-anak masih kecil dan kami baru saja pindah ke rumah baru. Apabila terkenang segala usaha dan penat lelah membina rumah ini, saya nekad untuk mempertahankan rumah tangga ini walau apa saja dugaan yang datang.

"Lagipun saya tidak melakukan kesalahan yang besar atau benar-benar curang, sebaliknya hanya khabar angin kerana menerima banyak surat layang. Jadi sepanjang ketiadaan isteri, sayalah yang menguruskan anak-anak bersama pembantu peribadi.

"Nak dijadikan cerita satu hari ketika saya selesai solat Subuh dan duduk di balkoni rumah, saya terdengar lagu Permata Untuk Isteri dari pondok keselamatan. Tanpa saya sedar air mata saya berguguran jatuh dan lagu itu begitu menyentuh jiwa saya," katanya.

Menurut Yusof, dia bersyukur hasil bantuan bapa mentuanya dia berjaya menemui keberadaan isteri dan mengajaknya pulang ke rumah walaupun proses memujuk memakan masa bertahun.

"Pada awalnya dia masih 'keras', tapi Alhamdulillah selepas saya meyakinkan dia dengan mengatakan sekiranya saya melakukan dosa besar pasti Tuhan tidak akan menyelamatkan saya termasuk bersikap jujur dalam perhubungan jika nak rezeki sentiasa melimpah.

"Kebetulan waktu itu filem Gerak Khas The Movie nak tayang di pawagam. Isteri saya pun terus perli dengan mengatakan biasanya filem saya selalu mendapat sambutan, jadi dia nak tengok sama ada filem ini berjaya atau tidak.

"Alhamdulillah dengan izin Allah dan saya bertegas dengan pendirian tidak melakukan hal yang tidak baik di belakangnya, filem itu sukses apabila meraih kutipan pecah panggung.

"Jujur proses memujuk memakan masa bertahun. Saya tidak salahkan dia sebab sudah tentu dalam bidang hiburan ini kami terdedah dengan macam-macam gosip. Tambah pula saya selalu berjumpa dengan artis dan isteri saya perlu kuat menghadapinya," katanya.

Dalam pada itu, Patimah berkata, sepanjang sebulan menghilangkan diri banyak pengajaran yang dipelajari.

"Ketika belajar di sekolah pondok rata-rata tenaga pengajar saya memiliki dua atau tiga isteri, sedangkan saya baru saja dengar gosip terus melarikan ke hujung dunia.

"Jadi insiden itu memberi pengajaran dalam hidup saya. Alhamdulillah suami saya mempunyai kesabaran yang tinggi walaupun dia nampak agak panas baran tapi hatinya cukup lembut dan penyayang," katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2024 @ 5:35pm
d