rap

'Ramai yang DM, tapi saya tak layan dan baca pun' - Hisyam Hamid

Oleh Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Pelakon popular, Hisyam Hamid, 38, menyifatkan tindakan segelintir peminat yang fanatik dan obses terhadap dirinya adalah lumrah dalam dunia selebriti.

Hisyam berkata, tidak salah jika peminat meminati dirinya atau menjadikannya sebagai idola selagi ia tidak keterlaluan atau terlalu taksub.

"Memang ramai peminat termasuk yang obses dengan saya yang menghantar Direct Message (DM) di Instagram tetapi saya tidak pernah layan atau baca pun.

"Saya anggap mereka semua peminat saja. Selagi mereka tidak kacau (ganggu) dan buat perkara yang tidak sepatutnya, saya biarkan saja," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas tindakan seorang peminat yang juga pemilik akaun @hanisaheleena7 yang mendakwa dirinya bakal tunang pula, Hisyam menganggap perkara itu tidak serius.

"Saya tak kenal pun pemilik akaun itu dan anggap dirinya peminat saja. Memang ramai yang beritahu kewujudan pemilik akaun itu yang semacam obses dengan saya. Bila kena 'bash' (kecam) dia dakwa adik angkat saya pula.

"Ada juga yang beritahu dia sebenarnya tidak okay dari segi mental sebab itu saya biarkan saja," katanya

Hisyam berkata, dia tidak merancang untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

"Saya rasa orang boleh membuat penilaian sendiri bila tengok dia di Instagram. Kalau kita tengok peminat artis Korea pun, peminat yang obses seperti itu perkara biasa saja. Apa yang penting ia tidak jejaskan nama baik dan karier seni saya sebagai artis," katanya.

Terdahulu, seorang peminat yang juga pemilik akaun @hanisaheleena7 mendakwa dirinya adalah bakal tunang kepada Hisyam sekali gus meraih perhatian pengikut di media sosial.

Pemilik akaun itu juga memuat naik gambarnya bersama Hisyam yang sudah disunting di Instagram hingga ada pengikut yang terpedaya dirinya ada hubungan istimewa dengan pelakon dari Singapura itu.

Disiarkan pada: June 7, 2024 @ 5:04pm
d