rap

Kes rumah tangga Nora Danish belum selesai, kongsi bila sesuai

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Kes rumah tangga saya masih belum selesai, tetapi 'slowly but surely' ."

Demikian kata pelakon jelita Nora Danish mengenai perkembangan terkini kisah rumah tangganya dengan suami Nedim Nazri yang dilaporkan sedang bergolak.

Nora ketika ditemui berkata, buat masa ini tiada sebarang kenyataan baharu akan dibuat, sebaliknya bakal berkongsi perkembangan lanjut apabila sudah tiba masa sesuai.

"Baru-baru ini saya sudah memberikan kenyataan saya dan tunggu saja kata putus yang akan dibuat.

"Kalau boleh saya nak yang terbaik untuk semua pihak. Saya akan beri komen bila tiba masa yang sesuai dan mendapat keputusan yang muktamad.

"Terus terang hal rumah tangga ini terlalu peribadi untuk saya kongsikan. Saya nak beri kenyataan ini sekarang pun sangat tertekan dan hiba.

"Tunggu sampai tiba waktu itu, sama ada ia atau tidak (berlaku perceraian) semuanya masih dalam proses," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menurut Nora, dia sekali lagi menegaskan pergolakan yang berlaku tiada campur tangan insan ketiga, sebaliknya, berpunca daripada tiada persefahaman.

"Saya dan Nedim sentiasa berbincang sebelum membuat sebarang keputusan. Jadi tiada anasir luar dan tiada siapa yang menghasut kami.

"Cuma dalam hal ini keadaan yang berlaku memaksa kami untuk tidak sebumbung. Semuanya berlaku orang kata dalam jalan cerita yang luar biasa," katanya.

Terdahulu Nora mengesahkan perkahwinannya dengan Nedim yang dibina sejak 2017 sedang bergolak.

Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Mohamed Neqayl berusia enam tahun.

Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Putra Rayqal, 15 sebelum bercerai pada 2008.

Disiarkan pada: June 11, 2024 @ 2:43pm
d