rap

Nora Danish dan Nedim Nazri nafi masalah kewangan punca cerai

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Kuala Lumpur: Pelakon Nora Danish, 42, berharap tidak timbul sebarang teori berhubung perpisahan dengan bekas suami, Nedim Nazri, 41.

Nora dan Nedim bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, kira-kira jam 8.40 malam tadi menyangkal dakwaan masalah kewangan jadi punca perpisahan.

"Saya harap anda semua dapat menghormati perpisahan kami dan tidak timbulkan sebarang teori. Ini kerana saya sangat mementingkan keharmonian kedua-dua keluarga.

"Saya sangkal dakwaan masalah kewangan menjadi punca perpisahan.

"Kami sudah duduk berasingan sejak enam bulan lalu dan cuba selamatkan rumah tangga dibina tujuh tahun lalu, tapi tak berhasil," kata Nora yang hadir dengan berjubah putih.

Menurut Nora lagi, dia dan Nedim sangat mementingkan keharmonian kedua-dua keluarga, jadi enggan mengulas punca perpisahan kerana tidak mahu menimbulkan sebarang teori.

"Kami hanya merancang, namun Allah menentukan segala-galanya.

"Anak-anaknya juga sedia maklum mengenai perpisahan, tetapi hubungan bersama anak tiri tetap baik," katanya.

Malah, Nora dilihat sempat menyambut Hari Bapa bersama Nedim dan anak-anak, baru-baru ini.

"Kami memang baik, setiap manusia lalui ujian berbeza-beza. Tapi untuk capai tahap keredaan dan datang bersama ke mahkamah pada hari ini bukanlah mudah.

"Bagaimanapun, pengalaman sebelum ini mematangkan kami.

"Kami hanya ingin membesarkan anak-anak dengan kasih sayang dan positif. Harap anda semua doakan yang terbaik," katanya lagi.

Nora dan Nedim berkahwin pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl berusia enam tahun.

Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008.

Sementara itu, Nedim pula pernah mendirikan rumah tangga dengan Nabilah Khan pada 2011 dan bercerai dua tahun kemudian. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata, Mohamed Nedrin, 12.

Disiarkan pada: June 19, 2024 @ 10:42pm
d