rap

Boss Ned masuk ICU

Kuala Lumpur : Walaupun sudah bercerai, pelakon, Nora Danish, 42, tetap memberi kata-kata semangat buat bekas suaminya Nedim Nazri, 41, yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital, di sini.

Nora mendoakan Nedim yang dipanggilnya 'daddy' supaya kuat berdepan dugaan kesihatan yang dialaminya.

"Terus kuat 'daddy'," tulis Nora di Instagram Story yang menggunakan latar belakang foto Nedim sedang terbaring atas katil di hospital.

Nedim atau nama sebenarnya Mohamed Nedim Mohamed Nazri memaklumkan dia dimasukkan ke ICU di sebuah hospital, di sini.

Namun, dia tidak menyatakan apa masalah kesihatannya itu hingga terpaksa dirawat di ICU.

"Sudah berumur 41 tahun dan saya kini dalam hospital, ICU," katanya.

Silaturahim pasangan yang baru sah bercerai minggu lalu itu ternyata menuai sorotan positif daripada netizen. Mereka dipuji kerana masih berbaik dan akrab meski sudah tidak suami isteri.

Malah, ramai menyifatkan hubungan tetap terjaga mereka itu patuh dicontohi pasangan lain yang bercerai.

"Baiknya Nora, bekas suami sakit pun dia sempat pergi melawat. Memang profesional," antara komen netizen.

Terdahulu, Nora dan Nedim bersetuju untuk berpisah secara baik menerusi prosiding di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Berita itu menyusul selepas sekitar hujung April lalu, Nora membuka mulut mengenai rumah tangga mereka memang sudah bergolak. Namun mereka tetap berbaik demi anak-anak.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl yang kini berusia enam tahun.

Disiarkan pada: June 24, 2024 @ 7:23pm
d