rap

Siti tak mau komen

Oleh Farihad Shalla Mahmud

Kuala Lumpur : Datuk Seri Siti Nurhaliza belum bersedia memberikan kenyataan berhubung pelantikannya sebagai pakar di Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya (UMCced) seperti yang tular sejak kelmarin.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan pengurusannya, Siti Nurhaliza Productions, beliau hanya akan berbuat demikian selepas pusat pendidikan itu mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara itu.

"Salam rakan-rakan media semua. Buat masa ini, Siti tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan sempena pelantikan pakar di UMCced kerana kenyataan rasmi harus dikeluarkan terlebih dahulu oleh pihak berkenaan.

"Selepas kenyataan rasmi sempena pelantikan dibuat, Siti akan beri maklum balas kepada media mengenai perkara ini," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, Siti memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul berhubung perkara itu.

"Terima kasih kepada rakan-rakan media dan mohon maaf kerana buat masa ini, Siti tidak dapat memberikan kenyataan," katanya.

Terdahulu, pelantikan Siti itu meraih maklum balas pelbagai segelintir netizen termasuk kononnya tidak layak diberikan jawatan berkenaan kerana tiada kelayakan akademik kukuh.

Disiarkan pada: June 26, 2024 @ 11:55am
d