rencana

Pembinaan jati diri kental

Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

KETIKA merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2020 baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan dua berita penting yang pastinya menggembirakan seluruh warga belia negara ini. Pertama, kerajaan bersetuju melantik wakil belia sebagai Ahli Dewan Negara atau Senator dan kedua, bersetuju menubuhkan kumpulan khas penasihat anak muda berkepakaran bagi menasihati, memberi idea dan bekerja bersama-sama Perdana Menteri. Kedua-dua inisiatif ini bermatlamat untuk memastikan suara anak muda memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan negara.

Iltizam ini membuktikan kerajaan tidak pernah menganaktirikan atau menyisihkan golongan belia dalam proses membina dan membangunkan negara dan bangsa Malaysia. Malah, sesi libat urus bersama anak muda terus diadakan sepanjang masa sebagai platform penting yang menyediakan ruang dan peluang untuk kelompok ini menyuarakan pandangan dan bekerjasama erat dengan pihak kerajaan. Cuma dalam konteks ini persoalan utama yang sering bermain di benak fikiran kita ialah sejauh mana anak muda negara ini sudah bersedia mengharungi segala cabaran yang mendatang sekali gus mampu menggalas tanggungjawab berat yang bakal diamanahkan di bahu mereka.

Tema Sambutan Hari Belia Negara 2020, Dekad Ini Dekad Anda dilihat sangat signifikan dan cukup simbolik untuk menggambarkan peranan besar yang perlu dimainkan golongan belia dalam membangunkan rakyat dan negara. Jelas sekali ini dekad orang muda dan negara juga meletakkan harapan yang tinggi kepada golongan ini. Justeru, bagi memikul tanggugjawab ini, saya percaya golongan belia negara ini perlu memiliki beberapa ciri yang boleh membantu mereka memainkan peranan yang dihasratkan oleh semua pihak.

Antara ciri penting ialah belia perlu memiliki budaya integriti yang tinggi. Hal ini sangat penting kerana integriti perisai diri yang akan menonjolkan ciri-ciri peribadi yang unggul seperti amanah dan jujur. Penghayatan dan pengamalan integriti yang tinggi juga membolehkan golongan belia dapat menjauhkan diri daripada sikap tercela seperti khianat, hasad dengki, berbohong, mungkir janji, pecah amanah, menyeleweng dan menerima rasuah ketika menjalankan tanggungjawab. Hakikatnya pada hari ini negara terus dicengkam dengan sikap dan gelagat segelintir anggota masyarakat termasuk daripada kategori belia yang tamak dan mahu cepat kaya, lantas kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan terus meningkat. Jadi kita mahu golongan belia menjauhkan diri daripada sikap tercela seperti ini supaya ikhlas membangunkan rakyat dan negara.

Golongan belia juga perlu memiliki nilai jati diri yang kental. Ciri ini sangat penting dalam usaha membina dan membangunkan bangsa Malaysia yang bersatu padu. Misalnya, kita mahukan belia yang boleh mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara, menghayati dan mengamalkan kelima-lima prinsip Rukun Negara sebagai panduan hidup, memantapkan nilai hidup berpaksikan budaya Timur dan terus memperkasakan perpaduan antara kaum. Kita tidak mahu anak muda yang menjadi harapan negara dan bangsa ini hanyut dalam dunia globalisasi sehingga lupa asal usul dan mudah terpengaruh dengan budaya luar yang kurang sihat. Ringkasnya, golongan belia tidak boleh menjadi hamba kepada budaya penjajahan baharu yang sedang dipelopori oleh anasir luar.

Ciri berikutnya kita mahukan belia yang memiliki kualiti ilmu dan pengetahuan yang tinggi di mana aspek pendidikan termasuk kemahiran teknikal dalam pelbagai bidang perlu diberi perhatian yang serius. Untuk menjadi sebuah negara maju mengikut acuan sendiri, kita memerlukan modal insan berkepakaran dalam kalangan warga tempatan. Jadi, mahu tidak mahu pendidikan dan ilmu pengetahuan perlu menjadi fokus utama golongan belia. Negara kita memiliki akses pendidikan yang cukup baik di mana kita sudah ada begitu banyak institusi pengajian tinggi termasuk universiti awam, universiti serta kolej swasta dan juga institusi kemahiran seperti politeknik. Maka belia perlu menggunakan segala kemudahan akses pendidikan ini untuk meningkatkan ilmu serta kemampuan dan kemahiran diri untuk menjadi pakar dalam bidang masing-masing. Cukup-cukuplah selama ini kita bergantung harap kepada pekerja asing untuk membangunkan negara ini. Sudah sampai masanya kita mengambil alih tugas itu dan membangunkan negara dengan acuan dan citarasa kita sendiri.

Pada masa sama, kita juga berharap golongan belia akan terus menjauhkan diri daripada pelbagai masalah sosial dan jenayah yang boleh menghancurkan masa depan mereka serta harapan rakyat dan negara. Harus diingat statistik menunjukkan pembabitan golongan belia dalam kes dadah, lumba haram, buang bayi, samseng dan gengsterisme, mencuri dan menyamun serta pelbagai masalah sosial dan kes jenayah lain pada hari ini cukup membimbangkan dan semakin meningkat. Jika kedaaan ini berterusan, bagaimana kita mahu mengharapkan belia untuk membantu membangunkan negara? Apakah kita lupa dan masih tidak mahu ambil iktibar dengan ungkapan 'jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.' Jadi golongan belia perlu memiliki ciri daya ketahanan diri yang kuat agar dapat menangkis segala jenis ancaman penyakit sosial dan perilaku jenayah seperti ini.

Tuntasnya bagi merealisasikan impian dekad ini menjadi dekad belia, kita memerlukan generasi anak muda yang memiliki ciri dan nilai peribadi yang unggul supaya anggota masyarakat yakin dengan kemampuan mereka dalam membangunkan negara. Dalam hal ini, berpaksikan kepada ungkapan keramat yang biasa kita dengar iaitu 'beri aku 10 pemuda, maka akan kuguncang dunia.' Penulis yakin jika semua pihak memainkan peranan sewajarnya kita mampu melahirkan generasi belia yang kita mahukan. Ayuh golongan belia buktikan ini adalah dekad anda!

Penulis pentadbir di universiti awam dan penganalisis isu semasa

Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 7:15am
d